Polis kenal pasti identiti lima sekeluarga maut dalam kebakaran rumah di Umbai


JASIN -- Polis telah mengenal pasti identiti lima mangsa yang rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Jasin Supt Mohamad Rusli Mat berkata mangsa dikenali Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4.


Beliau berkata suami mangsa yang terselamat dalam kebakaran itu dikenali sebagai Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35.


"Muhammad Khairuddin cuba menyelamatkan ahli keluarganya namun pergerakan terbatas akibat patah kaki selepas terbabit kemalangan bulan lepas.


"Kesemua jenazah dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


BERITA sebelum:


Lima Sekeluarga Rentung: Suami Masih 'Terdengar' Jeritan Isteri, Anak-Anak


Masih terngiang-ngiang di telinga Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, jeritan meminta tolong isteri dan empat anaknya yang terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini awal pagi tadi.


“Saya masih terdengar-dengar suara isteri panggil nama anak-anak…saya minta maaf mak,” katanya kepada ibu mentuanya, Ruziha Osman, 60, ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Jasin di sini hari ini.


Lelaki itu terselamat namun isterinya, Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4, terkorban dalam tragedi itu.


Muhammad Khairuddin sebeum itu menerima kunjungan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di hospital berkenaan yang turut menyalurkan bantuan awal RM2,000.


Sementara itu, Ruziha yang menetap di Puchong, Selangor berkata Laila Fathinah sedang hamil anak ketujuh dan kandungan sudah berusia lima bulan.


Ruziha berkata dia menghantar anak sulung daripada tiga beradik itu pulang ke rumah di Kampung Berangan Enam itu kira-kira 11.30 malam tadi selepas arwah mengunjungi rumahnya Selasa lepas.


“Arwah ke rumah saya dengan seorang anak perempuannya yang ketiga berusia lapan tahun berikutan kanak-kanak itu perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital selepas mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan pada Januari lepas di Brisu, Alor Gajah.


“Kemalangan itu menyebabkan menantu (Muhammad Khairuddin) patah kaki dan bahu manakala arwah dan lima anaknya yang lain cedera,” katanya.


Ruziha berkata selepas menghantar Laila Fathinah ke rumah, dia pulang ke Puchong bersama cucunya yang berusia lapan tahun itu sebelum dikejutkan dengan tragedi menimpa keluarga tersebut pagi tadi.


Katanya dia tidak menyangka akan menerima perkhabaran itu kerana arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah ceria seperti biasa.


“Arwah juga meninggalkan seorang anak perempuan berusia 18 tahun yang tinggal bersama saya di Puchong,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga ADUN Perak sertai PBM tidak beri kesan kepada kerajaan Negeri

Mahkamah Rayuan luluskan permohonan Najib peroleh dokumen jalani baki hukuman penjara di rumah