Azalina tegas pendirian tak sokong gag order titah adendum


Azalina Othman Said menegaskan pendiriannya sama seperti sebelum ini, menentang permohonan larangan bersuara dibuat Jabatan Peguam Negara bagi menghalang orang ramai membincangkan titah adendum Najib Razak menjalani baki pemenjaraan bawah tahanan rumah.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) berkata demikian merujuk laporan sebuah portal berhubung kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi, menghargai tindakannya membantu mengkoordinasi perintah larangan mengulas (gag order) berkaitan titah adendum terkait Najib.


“Pendirian saya kekal tidak berubah. Permohonan perintah larangan bersuara oleh Jabatan Peguam Negara tidak sepatutnya dibuat dalam isu ini kerana perkara berkaitan titah adendum telah pun menjadi pengetahuan umum,” katanya dalam kenyataan.


Pada 4 Feb lalu, Zahid ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen berterima kasih kepada Azalina yang mengkoordinasikan perintah larangan mengulas dengan Pejabat Peguam Negara berhubung titah adendum Najib.


Zahid mengulas pendirian Umno berhubung keputusan kerajaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah ‘tutup mulut’ daripada mahkamah bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan titah adendum.


Azalina berkata, beliau juga telah menghubungi Zahid tentang kenyataan itu dan timbalan perdana menteri menjelaskan kenyataannya merujuk kepada pendirian Barisan Nasional (BN) untuk mematuhi Peraturan Mesyuarat 36 (2) berhubung titah adendum.


“Ahli-ahli tidak boleh mengucapkan perkara yang sedang diadili mahkamah (subjudis) dengan cara yang mungkin pada hemat pengerusi merosakkan kepentingan pihak-pihak di dalam kes tersebut.


“Keputusan tersebut berkaitan larangan membahaskan dan membincangkan perkara berkaitan titah adendum dalam Dewan Rakyat,” katanya.


Beliau berkata, kenyataan Zahid perlu difahami dalam konteks tersebut, bukannya sebagai pendirian kerajaan terhadap larangan bersuara secara umum.


Sebelum ini, Najib memohon semakan kehakiman bagi menuntut pelaksanaan titah tambahan berkenaan yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah berbanding di Penjara Kajang.


Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman tersebut atas alasan afidavit sokongan yang dikemukakan oleh Zahid dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail bersifat khabar angin.


Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan baru-baru ini menerima rayuan Najib dan mengembalikan kes tersebut ke mahkamah tinggi untuk didengar.





Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga ADUN Perak sertai PBM tidak beri kesan kepada kerajaan Negeri

Mahkamah Rayuan luluskan permohonan Najib peroleh dokumen jalani baki hukuman penjara di rumah