[VIDEO] Suspek kes bunuh wanita di Tanjung Lumpur dikenal pasti - Polis
Polis sudah mengenal pasti identiti suspek kes wanita yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, semalam 13 Februari 2025.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya kini giat mengesan lelaki berusia 37 tahun itu yang menetap di sekitar daerah ini bagi membantu siasatan.
Beliau berkata suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan tidak mempunyai hubungan dengan mangsa yang juga ibu kepada seorang anak lelaki.
"Suspek didapati pernah membuat pesanan makanan dengan mangsa dan bertemu di lokasi kejadian. Siasatan turut mendapati barang kemas wanita itu hilang selain terdapat kesan kecederaan di badan mangsa," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan mayat seorang peniaga makanan wanita tempatan berusia 37 tahun ditemukan dengan siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Yahaya memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat.
Sementara itu Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berkenan bercemar duli berangkat menziarahi keluarga mangsa di Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.
Paduka Baginda menyifatkan pembunuhan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun, sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Paduka Baginda bertitah agar suspek segera diberkas dan hukuman setimpal dikenakan jika disabitkan atas kesalahan membunuh.
Dalam kunjungan tersebut, Paduka Baginda sempat menitipkan titah nasihat dan kata-kata semangat buat suami mangsa, Mohammad Afiq Akmal Nudin.
Mangsa meninggalkan seorang anak lelaki berusia lima tahun.
Comments
Post a Comment