Mayat peniaga makanan wanita ditemukan di tepi sungai Tanjung Lumpur
KUANTAN - Seorang wanita yang juga peniaga makanan ditemui meninggal dunia di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada Khamis 13 Februari 2025.
Mayat mangsa berusia 37 tahun ditemui seorang lelaki sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, hasil siasatan pada tubuh mangsa mendapati punca kematian wanita itu disyaki wujud unsur jenayah.
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa yang tinggal di daerah ini menjalankan perniagaan makanan.
"Mangsa dikatakan datang ke kawasan tempat kejadian untuk menjalankan urus niaga secara hantaran (COD) kira-kira jam 7.30 malam hari sebelumnya.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, pihak polis memohon kerjasama masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian hingga boleh menganggu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta berhubung dengan balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya.
Comments
Post a Comment