CEO INSKEN tamat perkhidmatan setelah lapan tahun curah bakti
Setelah lapan tahun mencurahkan bakti sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) Muhd Firdaus Azharuddin menamatkan kontrak perkhidmatan.
Memulakan pucuk pimpinannya di INSKEN sejak 2017, beliau melaksanakan mandat serta tanggungjawab diberikan dengan baik dan sering mengutamakan aspek pembangunan keusahawanan terutamanya kategori mikro serta informal.
INSKEN dalam kenyataan hari ini memaklumkan agensi di bawah kendalian Muhd Firdaus telah menyaksikan impak keberhasilan program yang luar biasa serta pelbagai inisiatif baharu juga diperkenalkan.
"Peningkatan hasil jualan bagi Program Bimbingan INSKEN iaitu INSKEN Bumiputera Business Coaching ((BBC) dan Program Bimbingan Keuntungan Menu adalah antara sumbangan terbesar beliau kepada ekonomi negara," menurut kenyataan itu.
Menurut INSKEN, kedua-dua program itu mencatatkan peningkatan hasil jualan hampir RM101 juta ketika di bawah kepimpinan Muhd Firdaus melalui modul-modul bimbingan yang dirangka bagi memastikan usahawan dapat mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.
Selain itu, INSKEN memaklumkan 1,134 pekerjaan baharu tercipta dan 130 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil.
"Melihat kepada keberhasilan program ini, beliau ialah tulang belakang utama yang memastikan Program IBBC wajib dilaksanakan kerana ia mampu memajukan perniagaan usahawan ke peringkat lebih tinggi," menurut kenyataan itu.
Selain itu, bagi memastikan usahawan di Sabah dan Sarawak juga diberi tumpuan serta menerima manfaat INSKEN, Muhd Firdaus mengambil langkah bijak dengan membuka cawangan di Sabah dan Sarawak pada 2023.
"Kegigihan dan usahanya mendapat perhatian sehingga beliau menerima Anugerah 100 Top CEO 2022 di bawah kategori Special Leadership Award bagi Agensi Kerajaan (Pembangunan Usahawan Mikro dan Informal)," menurut kenyataan itu.
INSKEN adalah sebuah agensi di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program latihan dan bimbingan.
Comments
Post a Comment