'BN tumbang, tiga pasukan elit polis dibubar PH' - Zahid
'BN tumbang, tiga pasukan elit polis dibubar PH' - Zahid
Sumber: https://pakdin.my/157598 -
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Sambutan Hari Polis pada setiap 25 Mac mengimbau pengalaman bermakna bagi dirinya dalam menambah baik perkhidmatan pasukan itu kepada negara dan masyarakat.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, antara yang paling diingati adalah menaik taraf unit trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi memperkasakan peranan dan fungsinya.
"Mencetuskan idea penubuhan tiga skuad elit PDRM untuk melawan dan melumpuhkan habis-habisan jenayah terancang di Malaysia dengan memburu serta menangkap jerung-jerung yang menjadi dalang.
"Itulah skuad elit Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisian Narkotik (STING).
"Namun sejurus kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, kerajaan 22 bulan mengarahkan pembubaran ketiga-tiga skuad elit ini," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Menurut Ahmad Zahid, sejarah turut menyingkap pengorbanan besar pasukan polis dalam jasanya menentang ancaman komunis dan kini mencatat sejarah baharu melawan jenayah siber serta rentas sempadan.
"Terima kasih para pegawai dan anggota PDRM kerana terus kental dan bersemangat memberi khidmat mereka menjaga rakyat dan negara tanpa mengenal erti penat lelah," katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk menambah, PDRM juga sangat dekad di hatinya kerana pelbagai memori semasa bertugas sebagai Menteri Dalam Negeri masih tersemat rapi.
"Jiwa ini sehingga hari ini masih dapat merasai serta menyelami betapa besar jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan itu dalam memastikan rakyat terus hidup aman dan sentosa.
"Betapa besar sumbangan mereka pada setiap hari, siang dan malam bagi memastikan ketenteraman serta keharmonian masyarakat negara ini sentiasa terjamin," ujarnya.
Comments
Post a Comment