PKR pecat 11,000 ahli selepas Langkah Sheraton, kata Saifuddin
PKR pecat 11,000 ahli selepas Langkah Sheraton, kata Saifuddin
Selanjutnya di: https://pakdin.my/157473 -
PKR memecat 11,000 ahlinya yang ada kaitan dengan “Langkah Sheraton” membabitkan kumpulan bekas Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali pada Februari 2020 sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan tumbang.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Lembaga Disiplin parti terpaksa bekerja lebih keras untuk membersihkan ahli yang bersekongkol dengan kumpulan “khianat” PKR itu.
“Saya masih ingat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas Langkah Sheraton panas, kalau mesyuarat tiga jam, dua jam bincang laporan Lembaga Disiplin, tapi sekarang tidak ada lagi.
“Kalau dulu beribu laporan Lembaga Disiplin kita terima, merangkumi pelbagai, ada yang diberi surat tunjuk sebab, peluang bela diri dan dibenar membuat rayuan dan sebagainya,” katanya dalam wawancara “Pemilihan PKR 2022: Apa anggota perlu tahu?” malam ini.
Sehubungan itu, katanya, MPP memutuskan mana-mana ahli PKR yang terbukti terlibat dengan Langkah Sheraton akan dipecat secara automatik.
Saifuddin mengakui pemecatan 11,000 ahli itu memberi kesan kepada PKR.
“Pada saya, ahli sangat berharga sebab kita tahu, nak orang masuk PKR ini payah.
“Siapa nak masuk PKR? Risikonya, ada yang kena buang kerja, kalau berniaga hilang kontrak, kalau suami tak diganggu, isteri pula ditukar tempat kerja, terima ugutan. Payah nak jadi ahli, jadi kesannya 11,000 keluar parti ini besar.”
Mengenai pemilihan PKR pada bulan depan ketika negara bakal menghadapi pilihan raya umum ke-15, Saifuddin berkata, antara tujuannya ialah mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan bekas pemimpin yang melompat parti.
“MPP buat keputusan kita perlu segera mengadakan pemilihan untuk mengisi struktur kepimpinan parti yang ditinggalkan untuk bawa parti mendepani PRU.”
Comments
Post a Comment