Hutang negara: Dengar cakap Bank Dunia bukan pembangkang
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat tidak mendengar cakap pemimpin pembangkang yang mendakwa kononnya hutang negara terus meningkat dan kerajaan tidak mampu menanganinya.
Katanya, pembangkang terutama pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) tidak memberi fakta tepat mengenai perkara itu sedangkan kerajaan ditahap mampu menangani hutang negara.
"Jangan dengar cakap ketua ranting PAN atau calon pembangkang sebaliknya percaya kepada kenyataan Bank Dunia bahawa negara mampu menguruskan ekonomi dan hutang dengan baik," katanya di majlis penyampaian khas kejatuhan harga getah di Kuala Kangsar, Jumaat.
Menurut Najib, sudah tentu kenyataan Bank Dunia lebih tepat kerana mereka pakar ekonomi berbanding dakwaan pembangkang atau pemimpin PAN.
"Jika ekonomi kita menguncup, mana boleh kita beri pelbagai bantuan kepada rakyat seperti bantuan hari raya RM500 kepada penjawat awam semalam," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kerajaan BN yang mentadbir negara bukan hanya bercakap tetapi mampu menunaikan janji-janji.
"Pembangkang hanya bercakap tetapi belum tunjuk kemampuan termasuk di negeri yang ditadbir mereka namun masih menerima bantuan Pusat," jelasnya.
Perdana Menteri kemudian mengumumkan bantuan khas RM500 kejatuhan harga getah kepada 307,770 pemilik kebun dan 80,341 penoreh membabitkan bayaran RM194 juta.
Beliau menegaskan bahawa bantuan itu diberikan bukan kerana ada pilihan raya kecil tetapi kesinambungan bantuan yang diberikan pada 2013 dan 2014.
Hadir sama di majlis itu Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ismail dalam sidang media selepas majlis itu mengarahkan Risda menyelesaikan bayaran bantuan khas itu selewat-lewatnya Ahad depan memandangkan sambutan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.
Katanya, bantuan diberikan kepada pekebun dan penoreh yang layak berdasarkan kad perakuan masing-masing.
Bantuan itu sebagai bantuan kos sara hidup berikutan kejatuhan harga komoditi itu berikutan kesan kejatuhan ekonomi China menyebabkan pengurangan penjualan kenderaan yang memberi kesan kepada pengeluaran tayar.
Comments
Post a Comment