[VIDEO] Kastam Perlis patahkan cubaan seludup diesel dan petrol dalam operasi khas bersepadu


PADANG BESAR -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel dan petrol serta rampasan ke atas komoditi lain bernilai RM108,585 dengan cukai dianggarkan RM63,279 dalam Operasi Khas Bersepadu Diesel Bersubsidi bagi tempoh 27 Mei hingga 10 Jun lepas.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata untuk cubaan menyeludup diesel terdapat empat kes tangkapan berasingan dengan jumlah rampasan sebanyak 811 liter bernilai RM1,781 melibatkan tiga kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dan satu kenderaan pendaftaran Malaysia.

"Kesemua kenderaan tersebut ditahan ketika melalui Laluan Eksport Kompleks ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Padang Besar. 

"Empat individu warganegara Thailand iaitu dua lelaki dan dua perempuan yang merupakan pemandu kenderaan tersebut berumur antara 31 hingga 49 tahun ditahan untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ismail berkata untuk petrol juga terdapat empat kes tangkapan dengan rampasan sebanyak 205 liter bernilai RM420.25 melibatkan tiga kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang ditahan di Laluan Eksport ICQS Padang Besar.

"Empat warganegara Thailand berumur antara 34 hingga 53 tahun iaitu tiga lelaki dan seorang wanita yang merupakan pemandu kenderaan tersebut ditahan untuk membantu siasatan. Kesemua lapan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, beliau berkata empat kes lagi melibatkan rampasan komoditi lain seperti tepung beras, beras pulut, gula Thai dan serbuk perasa sebanyak 597 kilogram dengan nilai rampasan RM7,080 selain 82.70 liter minuman keras (RM44,874), 69.8 liter ubat batuk (RM24,430) dan sebuah kereta Toyota Yaris (RM30,000).

"Nilai cukai bagi rampasan komoditi itu RM63,279.99," katanya yang turut memaklumkan pihaknya komited dalam mempertingkatkan penguatkuasaan agar ekonomi negara terus mampan dan stabil.







Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

RBA DAP BUAT FITNAH BAGI MENIMBULKAN ISU PERKAUMAN KES ROGOL DAN BUNUH CHEE GAIK YAP