Kembali bersatu, ikut ‘haluan Umno’ demi menang PRU, kata Khaled
Kembali bersatu, ikut ‘haluan Umno’ demi menang PRU, kata Khaled
Selanjutnya di: https://pakdin.my/160209
- Haluan yang perlu diikut itu adalah ‘haluan Umno’, bukan haluan presiden, perdana menteri, mana-mana kelompok atau kluster.
- Ini penting untuk Umno menang pilihanraya dan mendapat mandat baharu.
- Perdana menteri harus menjadi suara kepada Umno manakala presiden parti pula menjadi jurubicara bangsa
Umno mesti bersatu dengan satu haluan dan mencari jalan keluar daripada kerajaan sedia ada yang bersifat sementara melalui pilihan raya yang demokratik.
Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata, haluan yang perlu diikut itu adalah ‘haluan Umno’, bukan haluan presiden atau perdana menteri, mahupun mana-mana kelompok atau kluster.
Beliau juga mengingatkan parti agar tidak terikut-ikut dengan segala percaturan atau perbalahan yang hanya akan melemahkan parti secara dalaman terutama ketika fokus utamanya adalah untuk memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Untuk menang pilihanraya dan mendapat mandat baharu, parti mesti bersatu dengan hanya satu haluan. Haluan itu ialah haluan Umno. Bukan haluan presiden, bukan haluan perdana menteri. Bukan haluan mana-mana kelompok atau kluster.
“Bagi memastikan kesatuan haluan ini dijayakan, segala fraksi dalam Umno mesti kembali bertaut. Jangan diturutkan sangat segala percaturan, perbalahan, ‘politiking’ yang hanya melemahkan Umno secara dalaman.
“Benar, kita tidak akan boleh bersetuju dalam semua perkara. Tetapi jangan kerana perbezaan pandangan, kita memilih untuk berpecah. Salah begitu,” katanya di Facebook.
Selain itu, Khaled berkata perdana menteri harus menjadi suara kepada Umno manakala presiden parti pula menjadi jurubicara bangsa, kerana dengan cara itu, kerajaan dan parti terus sehaluan.
“Dukungan Umno kepada perdana menteri mesti sepenuh hati. Begitu juga dukungan perdana menteri kepada presiden dan parti mesti menyeluruh. Kedua-duanya mesti menguat satu sama lain.
“Puak berkepentingan di luar sana sangat gembira apabila Umno berpecah belah. Kerana Umno yang lemah akan mudah dikalahkan. Dan apa yang lebih menggembirakan dari berjaya melihat parti terbesar goyah dan bercempera?
“Menafikan Umno mempunyai pergeseran dalaman adalah bohong. Namun pergeseran tersebut adalah lumrah dalam berpolitik. Jangan biarkan ia menjadi retak dan belah yang merugikan Umno,” katanya lagi.
Comments
Post a Comment