Jururawat maut ditikam suami akibat cemburu
Jururawat maut nyatakan hasrat mahu berpisah dengan suami
BACA seterusnya di: 168516
ALOR SETAR – Jururawat yang maut dipercayai ditikam dalam kejadian di Arau, Perlis hari ini (30 September 2023) pernah menyuarakan hasrat untuk berpisah dengan suaminya itu sebelum ini, namun membatalkannya demi anak-anak.
Menurut rakan baiknya, Rosima Dollah, 31, mangsa, Munirah Abu Bakar, 31, bagaimanapun memaklumkan kepadanya akan pergi ke pejabat agama esok bagi menyelesaikan masalah rumah tangganya itu.
“Arwah pernah menyuarakan perkara itu (berpisah) namun tak jadi kerana memikirkan anak-anaknya yang masih kecil, malah ketika berbual semalam arwah ada beritahu bahawa dia akan ke pejabat agama esok untuk menguruskan hal itu.
“Saya tidak bertanya panjang-panjang kerana saya tahu arwah menyembunyikan sesuatu dan dia enggan beritahu saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.
Menurut Rosima, kali terakhir mereka bertemu pada Hari Raya Aidilfitri lepas ketika bertandang ke rumah arwah di Beseri, Perlis., tetapi kira-kira pukul 10 pagi semalam dia menghubungi dengan mangsa.
“Saya dapat rasakan sesuatu kerana arwah tak banyak cakap, tidak macam sebelum ini. Saya juga nak jumpa dengan arwah, tetapi dia kata sibuk kerana kerja. Pagi tadi saya terkejut mendapat berita kematiannya,” ujarnya dengan nada sebak.
Menurut wanita itu, Munirah yang juga rakan sekolahnya sejak tingkatan satu disifatkan sebagai seorang wanita yang lemah lembut serta baik hati dan kedua-dua mereka seperti adik beradik.
Sementara itu, seorang lagi rakan lama mangsa, Efa Adah Sapri, 31, berkata, berita kematian Munirah mengejutkan rakan-rakannya yang pernah menjalani latihan kejururawatan di Kangar, Perlis kerana Munirah dikenali sebagai sangat baik hati dan lemah lembut
Akhbar ini hari ini melaporkan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) maut ditikam suaminya dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu di Arau, Perlis.
Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi sewaktu mangsa ingin keluar bekerja sebelum berlaku pertengkaran dengan suaminya yang berusia 38 tahun dan ujian urin suspek didapati positif dadah
===============================
BERITA sebelumnya:
Jururawat maut ditikam suami akibat cemburu
ARAU – Seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar maut ditikam suaminya dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, di sini pada pagi ini (30 September 2023,).
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi tadi sewaktu mangsa berusia 31 tahun itu ingin keluar bekerja.
Menurut Ahmad Mohsin, suspek berusia 38 tahun dipercayai bergaduh dengan mangsa di ruang tamu rumah dipercayai akibat cemburu dan mengesyaki isterinya itu telah berlaku curang.
“Polis mengesyaki pergaduhan itu berlaku sewaktu mangsa ingin keluar bekerja kira-kira pukul 6 pagi. Semasa pergaduhan, suspek yang merupakan pesara tentera itu bertindak menikam mangsa dengan sebilah pisau di bahagian dada sebelah kiri,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, selepas menikam mangsa, suspek memindahkan isterinya yang tidak sedarkan diri ke dalam bilik tidur utama rumah berkenaan.
Katanya, suspek juga kemudiannya bertindak menghantar dua anak mereka masing-masing berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh sebelum menyerahkan diri di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar pukul 10 pagi tadi.
“Susulan itu polis turut melakukan siasatan ke atas rumah berkenaan dan menemui mangsa yang ditutup dengan selimut tebal di dalam bilik tidur utama, malah siasatan turut menemui satu kesan tikaman pada bahagian dada kiri mangsa sepanjang kira-kira dua sentimeter,” katanya.
Susulan itu, Ahmad Mohsin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.
Katanya, suspek berkenaan yang positif dadah juga telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek di Kompleks Mahkamah Kangar esok.
Comments
Post a Comment