Hab helikopter Weststar di Melaka majukan industri aeroangkasa negara


Industri aeroangkasa negara memasuki fasa lebih maju berikutan rancangan membangunkan sebuah kilang pemasangan helikopter di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.

Ia susulan keputusan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM16.45 billion bagi pembinaan kemudahan tersebut.

Kilang ini akan dibina di kawasan seluas 6.88 hektar yang dijangka siap dalam tempoh 3 tahun.

Sepertimana diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Selasa, kontrak pembangunan kilang berkenaan diberi kepada syarikat tempatan, Weststar Group yang juga pengendali helikopter terbesar di rantau ini.

Tinjauan tapak juga telah diadakan oleh pihak Weststar Group bersama kerajaan negeri Melaka.

Selain kilang pemasangan helikopter, ia juga akan menjadi hab penyelenggaraan helikopter meliputi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Berbanding lapangan terbang di negeri lain, lokasi LTAM Batu Berendam tidak sibuk dengan aktiviti penerbangan selain mempunyai kawasan yang luas 

Kedudukan Melaka pula hanya sejauh 149 kilometer dari Kuala Lumpur atau 2 jam pemanduan.

Dengan sokongan kerajaan pusat, projek ini dilihat sebagai program nasional bukan sekadar melonjakkan Melaka tetapi mengubah landskap aeroangkasa tempatan serta serantau.

Ini kerana belum ada sebuah kilang pemasangan helikopter dibangunkan di Malaysia, sebaliknya negara lebih dikenali sebagai pusat MRO antara yang terbaik di Asia Tenggara.

MRO bagi helikopter yang terbesar di Malaysia ketika ini terletak di Subang, Selangor yang menempatkan beberapa buah syarikat penerbangan termasuk Westar.

Difahamkan, usaha kerajaan Melaka untuk menjadikan negeri itu sebagai hab industri aeroangkasa telah dilakukan sejak 2 tahun lalu.

Kerajaan Melaka pada 2023 telah melakukan misi pelaburan ke Itali menawarkan LTAM Batu Berendam sebagai lokasi MRO untuk sebuah syarikat pengilang helikopter.

Pembinaan kilang tersebut juga bakal menawarkan peluang pekerjaan khususnya dalam industri aeroangkasa kepada rakyat tempatan.

Setakat ini Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Masjid Tanah menyediakan latihan dalam industri aeroangkasa.

Selain itu terdapat 23 pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Melaka yang mana ini dilihat dapat menyediakan tenaga kerja mahir yang cukup.

Walaupun tidak disebut tetapi dipercayai keputusan membina kilang pemasangan helikopter ini adalah bagi menyokong prasarana yang diperlukan Westar Group.

Ini kerana pembinaan sebuah hab penerbangan di LTAM Batu Berendam, Melaka memang dicadangkan dalam tawaran Westar kepada kerajaan.

Kompleks ini akan merangkumi kemudahan MRO, pusat latihan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja serta pusat penyelesaian untuk pemasangan dan integrasi akhir helikopter.

Disember lalu Weststar Aviation Sdn. Bhd. memenangi kontrak sewa RM16.5 bilion untuk 15 tahun bagi 28 buah helikopter kerajaan termasuk 12 buah helikopter untuk TUDM.

Helikopter yang akan dibekalkan nanti adalah buatan Leonardo dari Itali meliputi varian yang berbeza.

Kaedah sewaan ini dikatakan memberi penjimatan sebanyak 1/3 dalam kos penyelenggaraan dan perolehan kepada kerajaan sekali gus memastikan perbelanjaan yang lebih cekap dan efektif.

Ini merupakan perolehan helikopter terbesar oleh kerajaan selepas 44 buah helikopter Sikorsky Nuri yang dibuat pada tahun 1968.

Kontrak sewaan yang diterima Westar Aviation ini juga bakal melonjakkan lagi kedudukan syarikat tersebut sebagai penyedia helikopter yang terbesar di Asia.

TUDM ketika ini menyewa 4 buah helikopter Leonardo AW139 dari Westar Aviation sejak tahun 2022 sebagai langkah sementara sebelum menerima pesawat pengganti Nuri.

Dalam pada itu, pembinaan kilang pemasangan helikopter Westar ini dapat melonjakkan lagi status Melaka sebagai negeri industri aeroangkasa Malaysia selepas tertubuhnya kilang Composite Technical Research (M) Sdn. Bhd. (CTRM) lebih 30 tahun lalu 

Pada tahun 1993 kerajaan Melaka meluluskan permohonan dua syarikat, CTRM dan Eagle Aircraft (M) Sdn. Bhd. bagi mendapatkan tanah seluas 52 hektar di Batu Berendam untuk dimajukan sebagai kawasan industri membuat pesawat ringan.

CTRM merupakan syarikat pengeluar bahagian komponen komposit yang pertama di Malaysia dengan fokus bidang utama iaitu aeroangkasa, komposit dan kejuruteraan.

Hari ini CTRM berada pada kedudukan kelima pengeluar bahagian komposit terbesar bagi syarikat pesawat terkemuka dunia, Airbus.

 

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga ADUN Perak sertai PBM tidak beri kesan kepada kerajaan Negeri

1 Daripada 6 kanak-kanak alami masalah kesihatan mental: Media sosial jadi faktor utama