90% kes rogol di Kelantan libat remaja bawah umur, atas dasar rela
Kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan membimbangkan dengan menyaksikan peningkatan kes berlaku setiap tahun yang kebanyakannya membabitkan suka sama suka.
Lebih membimbangkan, kebanyakan mangsa dan pelaku adalah remaja bawah umur iaitu seawal usia 10 tahun bagi perempuan dan 11 tahun bagi lelaki sehingga ada dalam kalangan mereka mengandung.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, ketika mendedahkan perkara itu berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 252 kes rogol dan sumbang mahram direkodkan iaitu meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.
Katanya, untuk suku pertama tahun ini juga merekodkan peningkatan 17.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Bagi saya kes rogol dan sumbang mahram sangat membimbangkan. Jika dulu lelaki yang mencari perempuan, namun kini di Kelantan sebaliknya yang berlaku apabila perempuan yang mencari lelaki untuk membuat hubungan.
VIDEO berkaitan:
"Ada kes beberapa bulan lalu, anak saudara perempuan berusia 10 tahun meminta membuat hubungan dengan bapa saudara berusia 20-an yang akhirnya mengandung.
"Ada juga kes di mana lelaki berusia 11 tahun membuat hubungan dengan sepupu perempuan berusia 15 tahun sehingga mengandung. Lebih tragik remaja perempuan bawah umur namun membuat hubungan sehingga dengan lima lelaki.
"Hasil siasatan yang dilakukan, sebanyak 98 peratus kes yang dilaporkan adalah suka sama suka," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil kajian pihaknya juga mendapati punca kejadian yang mendorong perbuatan itu disebabkan konflik keluarga selain kesibukan ibu bapa.
Selain itu katanya, faktor percintaan, kurang didikan agama, pengaruh rakan sebaya serta dadah juga menyumbang kepada kegiatan itu.
"Hasil rampasan telefon yang dilakukan terutama bagi wanita, banyak gambar dan video porno yang disimpan dalam telefon bimbit mereka.
"Ada juga baru berkenalan beberapa minggu namun sudah merakam gambar bogel dan menghantar kepada rakan lelakinya itu. Situasi ini sangat membimbangkan.
"Ada juga anak perempuan bawa balik rakan lelaki di rumah dan tidur bersama dengan pengetahuan keluarga, namun keluarga hanya membiarkannya sahaja," katanya.
Justeru, beliau meminta semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengekang jenayah rogol ini dan bukannya menjadi tanggungjawab PDRM semata-mata.
Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memeriksa telefon bimbit anak masing-masing.
Comments
Post a Comment