30 tahun 'derita' jalan tidak berturap di Rantau Panjang

 


30 tahun 'derita' jalan tidak berturap di Rantau Panjang

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153998]

RANTAU PANJANG - Lebih 20 buah keluarga di Kampung Perol Lubok Tegayong, Tok Uban di sini 'menderita' sejak 30 tahun lalu apabila laluan masuk ke rumah mereka tidak berturap sekaligus mengundang bahaya setiap kali musim hujan.

Dakwa penduduk situasi menjadi lebih bahaya terutama pada waktu malam kerana mereka sukar untuk mengagak laluan tersebut disebabkan oleh suasana yang sangat gelap tanpa kemudahan lampu jalan.

Wakil penduduk, Idris Jusoh, 65, berkata, mereka sudah tidak sanggup untuk mengharungi 'penderitaan' itu yang berlarutan sejak 30 tahun lalu.

"Kami telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkenaan dan difahamkan ia sudah diluluskan. Malangnya jalan sejauh lima kilometer ini masih belum berturap.

"Jadi saya merayu supaya laluan utama kami ini dapat diturap dengan secepat mungkin," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurutnya, ekoran jalan tidak sempurna itu dia akan mengalami masalah ngilu pada bahagian tulang yang patah akibat kemalangan sebelum ini.

Katanya, setiap kali menggunakan laluan tersebut dia terpaksa 'melupakan' seketika kesakitan kerana itulah pilihan terbaik yang ada.

Seorang lagi penduduk, Rosmini Ismail, 48, berkata, permukaan jalan yang tidak rata menyebabkan dia hampir mengalami kemalangan.

"Sampai bila kami perlu berdepan dengan kepayahan ini sedangkan kami layak untuk menikmati kemudahan itu.

"Jadi saya merayu kepada pihak berkenaan terutama wakil rakyat untuk segera menyelesaikan masalah ini," katanya.

Che Deraman Daud,62, berkata, sebelum ini penduduk telah berpakat mengumpul dana bagi membaiki jalan tersebut dengan menambun batu.

Katanya, inisiatif secara bergotong-royong itu bagi memastikan penduduk dapat menggunakan jalan tersebut dalam keadaan selesa walaupun serba kekurangan.

Dia berkata, semakin hari jalan yang ditambun batu semakin berlopak dan tidak mampu untuk menampung kenderaan yang keluar masuk.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

RBA DAP BUAT FITNAH BAGI MENIMBULKAN ISU PERKAUMAN KES ROGOL DAN BUNUH CHEE GAIK YAP