[VIDEO] Hujan lebat di Sarawak hingga esok
[VIDEO] Hujan lebat di Sarawak hingga esok
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa kawasan di Sarawak akan dilanda hujan lebat berterusan bermula hari ini hingga esok.
Berdasarkan kenyataannya di Facebook, hujan sangat lebat tahap bahaya diramal melanda Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong manakala hujan lebat peringkat buruk berterusan dijangka berlaku di Sarikei serta Mukah membabitkan Tanjung manis dan Daro.
Sementara itu, hujan berterusan peringkat waspada diramal melanda Sibu, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang.
Amaran peringkat waspada juga dijangka berlaku di bahagian Pedalaman Sabah iaitu di Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort; Pantai Barat; Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat. Labuan turut diramal mengalami cuaca sama.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataannya juga turut meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat negeri dan daerah diaktifkan berikutan amaran tersebut.
Pada masa sama, jawatankuasa itu diminta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.
“Pastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut kenyataan di Facebook.
Menurutnya, NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.
Comments
Post a Comment