[VIDEO] Kangar dilanda ribut, rumah dan gerai bazar Ramadan rosak
[VIDEO] Kangar dilanda ribut, rumah dan gerai bazar Ramadan rosak
KANGAR: Lebih 60 premis kediaman dan perniagaan di sekitar Kangar rosak dan terjejas berikutan kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda daerah itu, petang tadi.
Kejadian sekitar jam 4:45 petang 29 Mac 2023 itu bukan saja merosakkan premis kediaman, malah bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang terletak di Taman Sena Indah, Repoh, Behor Empiang, Jalan Syed Alwi berhampiran sebuah pasar raya terkemuka, selain bazar Aidilfitri di Kangar Jaya.
Tinjauan mendapati, banyak premis jualan makanan dan minuman serta premis menjual pakaian bagi menyambut Aidilfitri rosak selepas bumbung dan gerai mereka diterbangkan angin ribut.
Malah, Balai Bomba dan Penyelamat Kangar turut dilanda ribut sehingga menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menghempap satu daripada rumah dalam stesen berkenaan.
Bagaimanapun, kejadian ribut yang berlaku itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Perlis, Leftenan Kolonel PA Mohd Izaimi Md Daud, berkata sehingga jam 8.51 malam tadi seramai 91 mangsa, di mana rumah atau premis perniagaan mereka rosak teruk akibat kejadian itu sudah diambil butiran untuk diberikan bantuan.
"Bagi kariah Masjid Putra, seramai 44 mangsa terdiri penduduk di Kampung Baru, 15 mangsa (Taman Intan) dan lima mangsa (Taman Dato Setia).
"Bagi kariah Repoh pula, terdapat tujuh mangsa, manakala kariah Kechor dan Behor Temak pula seramai enam mangsa yang terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, bagi kariah Chemumar pula, terdapat dua mangsa yang didapati rumah mereka turut terbabit dengan kejadian ribut itu.
"Masing-masing satu mangsa terbabit di kariah Kangar di Taman Kechor Indah, kariah Kota Kayang di kawasan Jalan Tok Kuning, Behor Empiang, Behor Mentalon dan Binjal.
"Kita masih lagi meneruskan pemantauan terhadap kerosakan yang berlaku pada rumah atau premis penduduk yang terbabit dengan kejadian ribut ini," katanya.
Seorang peniaga pakaian yang hanya mahu dikenali sebagai Hassan, 35, berkata kejadian berlaku dengan pantas ketika dia sedang mengemas gerai pakaiannya.
"Secara tiba-tiba angin bertiup kencang menyebabkan bumbung gerai terangkat dan terbalik.
"Memang kejadian berlaku dengan pantas, tiba-tiba saja angin bertiup kencang ditambah dengan hujan. Habis terangkat bumbung gerai saya dan kini terpaksa menanggung kerugian disebabkan tidak dapat meneruskan perniagaan untuk hari ini," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, melahirkan rasa takziah kepada mangsa ribut yang melanda Kangar.
"Jabatan dan agensi berkaitan sudah diatur untuk 'turun' membantu dan mangsa diharapkan dapat bersabar dengan musibah yang melanda.
"Malah bagi mangsa yang terbabit dalam kejadian itu boleh memberikan butiran diri mereka kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis," katanya.
Comments
Post a Comment