Apa yang perlu dilakukan jika dijangkiti Covid-19


Apa yang perlu dilakukan jika dijangkiti Covid-19

BACA seterusnya: https://pakdin.my/174269

KES Covid-19 di Malaysia masih dalam keadaan terkawal, namun dalam tempoh beberapa minggu ini, berlaku peningkatan yang agak merisaukan.

Setakat 9 Disember 2023, jumlah kes baharu Covid-19 dilaporkan sebanyak 2,552 kes, dua daripadanya merupakan kes import dan satu kematian telah dicatatkan.

Meskipun kebanyakan kes Covid-19 tidak serius, kira-kira satu dalam lima orang mengalami simptom yang teruk. 

Oleh sebab itu, Relevan membantu anda memahami perkara yang perlu dilakukan jika anda mengalami simptom Covid-19 dan cara anda boleh menjaga diri sekiranya dijangkiti.

SIMPTOM COVID-19

Gejala Covid-19 selalunya datang secara beransur-ansur. Ini bermakna anda akan menunjukkan gejala secara satu per satu. Walaupun petanda awal mungkin berbeza-beza, tiga gejala Covid-19 yang paling biasa ialah demam, batuk kering dan keletihan.

Selain itu, anda mungkin mengalami beberapa gejala tambahan seperti sesak nafas, sakit-sakit badan, sakit kepala, sakit tekak, selesema atau kehilangan bau dan rasa.

APA YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA MENGALAMI SIMPTOM COVID-19

Sekiranya anda mempunyai simptom Covid-19, adalah penting untuk mengambil langkah berikut:

1. Duduk di rumah

Anda boleh membantu mencegah penyebaran virus kepada orang sekeliling dengan cara duduk di rumah. Rancang untuk keluar hanya jika anda perlu mendapatkan rawatan perubatan.

2. Jarakkan diri anda daripada orang lain

Jika anda berkongsi rumah dengan orang lain, jauhkan diri daripada mereka semampunya. Cuba gunakan bilik tidur dan bilik mandi yang berasingan daripada isi rumah anda yang lain.

3. Hubungi doktor anda 

Adalah penting untuk memberitahu doktor atau pembekal penjagaan kesihatan tentang gejala anda. Mereka mungkin bertanya kepada anda soalan tentang bila dan bagaimana anda mungkin terdedah. Cuba jawab semua ini mengikut kemampuan anda.

4. Ikut arahan doktor

Doktor akan memberi arahan tentang cara menjaga diri semasa anda sakit. Mereka juga akan menasihati agar anda melakukan ujian untuk Covid-19 jika belum diuji.

5. Pantau gejala anda

Pantau gejala anda dan jika ia mula bertambah buruk, jangan teragak-agak untuk mendapatkan rawatan perubatan yang lebih lanjut. Hubungi pihak hospital lebih awal sebelum anda tiba di hospital agar pegawai kesihatan dapat menyediakan kemudahan penjagaan segera atau bilik kecemasan.

6. Pakai pelitup muka

Anda dinasihatkan untuk memakai pelitup muka sekiranya menunjukkan mana-mana simptom. Sejak akhir-akhir ini, kes semakin meningkat. Lebih selamat sekiranya anda memakai pelitup muka ke mana sahaja anda pergi walaupun anda yakin ia hanya simptom demam biasa.

7. Minum air secukupnya

Kekal terhidrat dengan meminum banyak cecair. Ini boleh termasuk air, minuman sukan (sports drinks) atau sup dengan kandungan garam yang rendah.

8. Makan makanan berkhasiat

Minta tolong ahli keluarga atau rakan terdekat untuk membelikan buah-buahan dan sayur-sayuran. Anda perlukan vitamin C, vitamin D dan zat besi untuk membantu proses penyembuhan.

JENIS UJIAN COVID-19

Terdapat dua jenis ujian Covid-19 yang boleh dilakukan. Pertama, kit ujian pantas antigen atau Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) yang direka untuk mendapatkan keputusan dalam masa kurang dari 30 minit dan boleh dilakukan di rumah. 

Dapatkan kit ujian ini di farmasi yang berdekatan. Namun, perhatikan tarikh luput ujian kit RTK-Ag sebelum membelinya.

Kedua, RT-PCR (real time reverse transcription–polymerase chain reaction) iaitu sejenis ujian Covid-19 yang digunakan untuk menganalisis spesimen daripada saluran pernafasan (hidung dan mulut).

Ujian ini sangat sensitif, tepat dan pantas. Ia dapat memberikan diagnosis paling singkat selama 3 jam. Walau bagaimanapun, kebanyakan makmal memerlukan masa antara 6 jam hingga 2 hari untuk mengeluarkan keputusan. 

Sekiranya anda mahu melakukan ujian PCR, hubungi klinik kesihatan yang berdekatan untuk melakukan temu janji. 



Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

RBA DAP BUAT FITNAH BAGI MENIMBULKAN ISU PERKAUMAN KES ROGOL DAN BUNUH CHEE GAIK YAP