🎦 Guru maut, pelajar universiti cedera ditembak
🎦 Guru maut, pelajar universiti cedera ditembak
Seorang guru Thailand maut dan seorang pelajar cedera parah dalam kejadian tembakan antara penuntut dari universiti berbeza di Bangkok.
Pegawai Balai Polis Tung Maha Mek dimaklumkan mengenai kejadian tembakan di laluan pejalan kaki di sepanjang kejiranan Khlong Toey di Bangkok pada kira-kira jam 10 pagi semalam, 11 November.
Pegawai bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa pertama, Thanasorn Hongsawat, 19 tahun, dalam keadaan berlumuran darah.
Thanasorn ialah pelajar tahun satu di Universiti Teknologi Rajamangala Tawan-ok, Kampus Uthenthawai. Dia mengalami dua kesan tembakan di dada dan lehernya. Sebilah pisau sepanjang 30 sentimeter ditemui berhampirannya. Dia dipindahkan ke Hospital Chulalongkorn dan masih dalam keadaan kritikal.
Kira-kira 10 meter dari Thanasorn, pegawai menemui seorang lagi mangsa, wanita berusia 45 tahun bernama Sirada “Jeab” Sinprasert. Jeab ialah seorang guru di Praharuthai Convent School, juga dikenali sebagai Sacred Heart Convent School, yang terletak berhampiran tempat kejadian.
Jeab ditembak di dahinya. Pegawai membawanya ke Hospital MedPark tetapi dia meninggal dunia dalam perjalanan.
Seorang penunggang teksi motosikal, Sirachai Sittisornchai, 60 tahun, yang menyaksikan kejadian tembakan itu, memberitahu polis bahawa dia melihat empat hingga lima pelajar dari Universiti Teknologi Rajamangala Tawan-ok, Kampus Uthenthawai, berjalan menuju ke Persimpangan Khlong Toey.
Kemudian, dua lelaki menaiki motosikal berhenti berhampiran laluan pejalan kaki. Salah seorang lelaki itu turun dari motosikal dan menghala pistol ke belakang leher Thanasorn. Thanasorn berjaya mengelak tembakan tetapi peluru itu mengenai seoranng guru, Jeab, yang sedang berjalan dihadapan.
Menurut Sirachai, pelajar universiti lain melarikan diri ke arah berbeza untuk menyelamatkan diri meninggalkan Thanasorn di tempat kejadian. Lelaki bersenjata itu kemudian menembak Thanasorn beberapa kali sebelum kembali ke motosikal.
Sirachai menjerit meminta kedua-dua suspek berhenti menembak dan mereka melarikan diri dari tempat kejadian menuju ke Persimpangan Khlong Toey.
Rakan-rakan Thanasorn itu yakin bahawa suspek adalah pelajar dari universiti saingan.
Comments
Post a Comment