SARA dikreditkan hari ini, penerima sifatkan rezeki Syawal


Peningkatan jumlah bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hingga RM2,100 berbanding RM1,200 pada tahun lepas, dikreditkan kepada penerima yang layak hari ini disifatkan sebagai 'rezeki Syawal'.

Pada ketika umat Islam masih dalam 'mood’ meraikan Aidilfitri, seorang penerima warga emas daripada KELANTAN Rosli Abd Ghani, 64, menyifatkan bantuan yang dikreditkan pada hari kedua sambutan perayaan berkenaan bagaikan durian runtuh.

"Alhamdulillah, ini kali pertama saya terima bantuan SARA dan rezeki yang diperoleh ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian saya sekeluarga, termasuklah digunakan untuk musim perayaan Aidilfitri seperti membeli barangan keperluan harian dan biskut raya," katanya.

Sementara itu, di TERENGGANU penerima SARA Zakaria Awang, 49, berkata bantuan itu dapat meringankan bebanan kewangannya yang telah banyak mengeluarkan perbelanjaan sempena sambutan Aidilfitri.

Penerima SARA dari MELAKA, Raziah Ismail, 32 pula menganggap bantuan yang diterimanya pada bulan Syawal itu sebagai rezeki terpijak yang amat melegakannya dalam menguruskan perbelanjaan harian.

“Sebagai suri rumah dengan empat anak yang bersekolah, nilai RM200 itu amat besar untuk ringankan beban perbelanjaan harian seperti membeli minyak masak dan telur,” katanya.

Rata-rata penerima juga menyifatkan jumlah bantuan SARA yang meningkat sebanyak 75 peratus tahun ini berbanding 2024, amat membantu mereka menampung perbelanjaan harian serta kos persekolahan anak-anak.

Di PAHANG, Mohd Badrul Rizaman Jusoh, 42, berkata inisiatif SARA memberi manfaat besar bagi ketua keluarga sepertinya terutama dalam menampung perbelanjaan persekolahan empat anak berusia antara 7 hingga 16 tahun.

“RM100 yang diterima juga akan digunakan untuk membeli minyak dan beras kerana itu keperluan utama keluarga kami yang mana setiap bulan hampir RM100 saya belanjakan untuk membeli barang asas berkenaan,” katanya.

Di PULAU PINANG, seorang penerima Mohd Hasbibollah Abdul, 48, berkata bantuan SARA diterimanya itu sedikit sebanyak meringankan beban apabila dapat membeli barang keperluan asas seperti beras, minyak masak dan tepung.

Suri rumah dari PERLIS, Robedah Nayan, 38, juga gembira dengan peningkatan bantuan kepada RM200 sebulan berbanding RM100 sebelum ini sekali gus meringankan kos perbelanjaan keluarga ditampung suaminya yang bekerja sebadai pemandu lori.

Di SARAWAK, Minjon Pawang, 67, yang menerima bantuan SARA sejak April tahun lepas berkata bantuan diterimanya itu sangat bermakna dalam membantu meringankan beban perbelanjaan diri sendiri sejak kematian suami pada 2022.

Penerima bantuan SARA di SABAH Frankey Geoffery,50, pula menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI yang sangat prihatin membantu rakyat, khususnya golongan memerlukan.

Kementerian Kewangan pada 26 Mac lepas mengumumkan peluasan pelaksanaan SARA kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata peluasan itu sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun ini, jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.

Di bawah program SARA, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada 2024.

Selain makanan asas, kredit SARA juga boleh digunakan untuk membeli barangan kebersihan diri, ubat-ubatan serta peralatan persekolahan.


Sumbangan Asas Rahmah (SARA) adalah bantuan tunai yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada golongan yang layak di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Berikut adalah maklumat penting mengenai SARA pada tahun 2025:

Pelaksanaan dan Perluasan:

  • Bermula 1 April 2025, program SARA diperluas kepada 5.4 juta penerima di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.
  • Ini merupakan peningkatan yang signifikan berbanding tahun 2024.
  • Perluasan ini adalah sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 untuk STR dan SARA kepada RM13 bilion, berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya.

Kelayakan Penerima:

Penerima SARA 2025 adalah mereka yang memenuhi syarat berikut:

  • Warganegara Malaysia.
  • Lulus STR 2025 dalam kategori:
    • Isi Rumah
    • Bujang
    • Warga Emas Tiada Pasangan
  • Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2024 (untuk kategori bantuan yang lebih tinggi).  
  • Atau, bagi penerima STR sahaja (bukan eKasih), mereka juga layak menerima SARA dengan kadar yang berbeza.

Jumlah Bantuan:

Jumlah bantuan SARA yang akan diterima oleh penerima yang layak adalah seperti berikut:

  • Kategori Penerima STR & eKasih:
    • Isi Rumah: RM2,100 (RM100 sebulan untuk Januari - Mac, RM200 sebulan untuk April - Disember)
    • Warga Emas Tiada Pasangan: RM1,650 (RM100 sebulan untuk Januari - Mac, RM150 sebulan untuk April - Disember)
    • Bujang: RM600 (RM50 sebulan untuk Januari - Disember)
  • Kategori Penerima STR Sahaja (Bukan eKasih):
    • Isi Rumah: RM900 (RM100 sebulan untuk April - Disember)
    • Warga Emas Tiada Pasangan: RM450 (RM50 sebulan untuk April - Disember)

Kaedah Penyaluran Bantuan:

  • Penyaluran bantuan SARA adalah secara tanpa tunai (cashless) ke dalam MyKad (kad pengenalan) penerima.
  • Penerima boleh menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan keperluan asas berlabel MyKasih di kedai runcit yang terpilih (berdaftar).
  • Barangan keperluan asas yang boleh dibeli termasuk makanan asas, barangan kebersihan diri, ubat-ubatan, dan peralatan persekolahan.
  • Mulai tahun 2025, kaedah penyaluran melalui MyKad diperluas ke negeri Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Cara Semakan Status Kelayakan dan Baki:

Senarai Kedai Runcit Terlibat:

Senarai kedai runcit yang berdaftar di bawah Program SARA boleh disemak melalui pautan berikut: https://app.mykasih.net/sara2/merchant-list

Penting:

  • Penerima SARA diingatkan untuk berhati-hati dengan pautan tidak sahih dan mendapatkan maklumat rasmi hanya dari portal dan saluran yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan dan MyKasih.

Dengan perluasan dan peningkatan jumlah bantuan pada tahun 2025, SARA dijangka akan memberikan impak yang lebih besar dalam membantu golongan yang memerlukan di Malaysia.

BACA juga:

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga ADUN Perak sertai PBM tidak beri kesan kepada kerajaan Negeri

Mahkamah Rayuan luluskan permohonan Najib peroleh dokumen jalani baki hukuman penjara di rumah