KRI Gesa Takrifkan Semula B40, M40, T20 Untuk Tangani Isu Kerentanan Ekonomi
Pengelasan semasa kumpulan pendapatan 40 peratus terendah (B40), 40 peratus pertengahan (M40), dan 20 peratus tertinggi (T20) tidak mencerminkan realiti stratifikasi ekonomi isi rumah di Malaysia, menurut kajian terkini oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI). Kajian itu mendapati sebaliknya, hanya kumpulan berpendapatan 30 peratus tertinggi (T30) yang menunjukkan corak perbelanjaan kelas pertengahan. Kumpulan pendapatan 50 peratus pertengahan (M50) --- kumpulan di antara B20 dan T30 -- masih rentan secara ekonomi, dan menghadapi masalah penyeimbangan antara memenuhi keperluan asas dan membeli produk yang lebih beraspirasi, jelas kajian itu. “Penemuan ini menimbulkan persoalan penting mengenai ketepatan klasifikasi isi rumah B40, M40, dan T20 semasa yang digunakan oleh kerajaan Malaysia,” menurut KRI dalam kenyataan pada Selasa mengenai kertas kerja terkininya bertajuk “Searching for the ‘Poor’ and ‘Middle Class’ in Malaysia” yang diterbitkan pada 30 Dis, 2024. KRI menjelaskan selama...