Monday, January 31, 2022

Wanita murung ditemui dalam buaian dekat hutan


Wanita murung ditemui dalam buaian dekat hutan

[Sumber: https://pakdin.my/?p=154152]

MARANG – Wanita kemurungan yang hilang sejak empat hari lalu berjaya ditemui dalam keadaan selamat di dalam kawasan belukar di Kampung Batu Penunggul, di sini hari ini.

Rohana Abu Bakar, 49, ditemui pasukan mencari dan menyelamat sedang duduk di dalam buaian kain di kawasan belukar itu pada pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, ibu kepada tiga anak itu dijumpai kira-kira tiga kilometer dari pondok yang didudukinya.

“Wanita itu berada dalam keadaan sihat, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Setakat ini motif kehilangannya masih belum ketahui,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan operasi mencari dan menyelamat Rohana dilancarkan pada pukul 10 pagi hari ini selepas menerima aduan kehilangan wanita itu di Balai Polis Bukit Payung di sini.

Kehilangan wanita yang mengalami kemurungan itu disedari salah seorang anaknya yang menghantar makanan di pondok berkenaan pada pukul 4 petang, Khamis lalu.


#PRNJohor: 'Saya keluar parti lepas DUN bubar sebab Muhyiddin tidak tekan butang'


 #PRNJohor: 'Saya keluar parti lepas DUN bubar sebab Muhyiddin tidak tekan butang'

[Sumber: https://pakdin.my/?p=154148

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad menganggap mereka yang mengkritik keputusannya keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana tidak faham dengan tindakannya itu.

Bekas Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor itu berkata, mereka melontarkan kritikan yang amat lemah dan tidak berasas termasuk mempersoal tindakannya keluar Bersatu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

"Jelas bila saya katakan saya tidak akan bertanding maknanya saya lepaskan semua. Bagaimana saya boleh jadi Exco lagi dan pegang jawatan lembaga pengarah mana-mana syarikat milik kerajaan (GLC) jika saya bukan lagi ahli politik?

"Kenapa saya keluar parti lepas bubar DUN? Sebab saya tunggu 'butang' yang tidak ditekan-tekan selama ini walaupun sokongan untuk berbuat demikian telah diberi kepada Presiden parti.

"Mana maruah kita bila dicabar? Mampukah saya lakukan seorang diri apatah lagi amaran telah diberi, jika sesiapa melompat atau bertindak keluar parti yang mana boleh menggugat kestabilan politik di Johor, DUN akan dibubarkan.

"Sebab itu semua patuh kepada titah Tuanku. Jadi Bersatu kena terima hakikatnya dan hormati pandangan akar umbi semua," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Sabtu, Mohd Izhar mengumumkan keluar Bersatu kerana mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan dan hala tuju parti selepas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang melakukan langkah yang sama pada Rabu.

Pada 12 November lalu, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mencabar Bersatu menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan UMNO Johor sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika Perikatan Nasional (PN) berbuat demikian.

Susulan itu Muhyiddin menyifatkan kenyataan Shahrir itu sebagai 'kurang bijak' selain berniat jahat.

"Jangan cabar saya. Sekarang saya boleh tekan semua butang, semua jatuh. Kamu nak itu berlaku? Saya tak takut, tapi saya fikirkan nasib rakyat Johor," kata Muhyiddin.

Pada 12 Ogos lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa bertitah merasmikan sidang DUN Johor, mengingatkan wakil rakyat supaya tidak bermain politik dan jika ada pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan negeri, baginda tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN.


Skandal 1MDB: SPRM serah kertas siasatan terhadap Zeti, Nor Mohamad Yakcop kepada Peguam Negara


Skandal 1MDB: SPRM serah kertas siasatan terhadap Zeti, Nor Mohamad Yakcop kepada Peguam Negara

[Sumber: https://pakdin.my/?p=154132]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan kertas siasatannya mengenai hubung kait bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dan 1MDB kepada Jabatan Peguam Negara.

Memetik laporan portal tersebut, dimaklumkan kertas siasatan SPRM itu menyusul siasatan polis ke atas keluarga Zeti sebelum ini berhubung dana yang dikaitkan kepada ahli perniagaan yang diburu polis Low Taek Jho atau Jho Low.

Hasil siasatan Bukit Aman itu diserahkan kepada Peguam Negara bulan lalu.

Sumber memberitahu FMT, kertas siasatan SPRM terhadap bekas Menteri Kewangan ll Nor Mohamad Yakcop mengenai isu sama, juga akan di hantar ke pejabat Peguam Negara.

“(Semua) siasatan terhadap perkara ini akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk diserahkan kepada PDRM kerana PDRM telah menjalankan siasatan terhadap suami Zeti (Tawfiq Ayman),” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, polis telah mengambil keterangan Tawfiq pada tahun lepas berhubung “penerimaan wang ke dalam akaun milik beliau di Singapura yang diperoleh hasil daripada terbitan (bon) RM5 bilion oleh Ambank pada tahun 2009.”

“Siasatan SPRM memberi tumpuan kepada pemulangan aset yang mana setakat ini telah berjaya memperoleh sebanyak AS$15.4 juta membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq,” katanya.

Mac lalu, polis dilaporkan menyiasat Tawfiq berhubung dana kaitan 1MDB yang didakwa di salurkan ke sebuah akaun bank miliknya di Singapura.

Sebelum itu, polis Singapura dilaporkan memaklumkan Bank Negara mengenai transaksi mencurigakan pada tahun 2015 dan 2016 melibatkan syarikat milik suami Zeti dan anaknya. Transkasi itu membabitkan dana daripada akaun yang dikaitkan kepada Jho Low.

Ketika itu, Zeti adalah gabenor Bank Negara.

Minggu lalu, Zeti dan Mohamed dilaporkan disiasat oleh SPRM. Menurut Utusan Malaysia, siasatan itu dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.



Sunday, January 30, 2022

Baitulmaqdis dilanda ribut salji, dilitupi hablur ais setebal 25cm

 


Baitulmaqdis dilanda ribut salji, dilitupi hablur ais setebal 25cm

[Link: https://pakdin.my/?p=154118]

SALJI melitupi Baitulmaqdis dan timur Mediterranean ketika ribut yang jarang berlaku menjadikan kota suci itu seperti taman ajaib. Cuaca sejuk yang telah menyebabkan gangguan besar di Athens dan Istanbul menyaksikan salji lebat di kawasan yang lebih terkenal dengan kehangatan musim panas mereka. Di lorong-lorong Kota Lama di Baitulmaqdis, kanak-kanak dilihat membaling sesama sendiri dengan bebola salji selepas salji turun lewat kelmarin.
  Menjelang pagi, salji menyelubungi perkarangan masjid Al-Aqsa. Difahamkan salji setinggi 15 hingga 25 sentimeter salji telah turun dalam masa semalaman. Pembajak salji mengambil masa sehingga tengah hari untuk membuka semula lebuh raya utama menuju ke Baitulmaqdis dari utara, selatan dan barat.
   
Susulan itu sekolah-sekolah di sana ditutup. Cuaca sejuk ekstrem itu secara tidak langsung membawa kesengsaraan kepada pelarian Syria di rantau itu. Selain Baitulmaqdis, bandaraya Istanbul, Turki dan Athens, Greek telah pun dilitupi salji sejak awal minggu ini.

Aroma arang kayu bakau rahsia kelazatan Ayam Tempayan Serkam

 


Aroma arang kayu bakau rahsia kelazatan Ayam Tempayan Serkam

[Sumber: https://pakdin.my/?p=154114]

TEKNIK memanggang ayam di dalam tempayan atau pasu memang tidak asing lagi dan bukan suatu yang luar biasa.

Namun, bagi membikin kelainan, dua sahabat, Hisham Abdul Hamid dan Muhammad Khairun Nur Rashid telah mengolah teknik pembakaran dengan menggunakan arang kayu bakau yang jarang dilakukan oleh kebanyakan pengusaha.

Kata Hisham, tidak ramai sebenarnya yang mengetahui bahawa arang jenis itu membangkitkan lebih aroma yang tersendiri dan membuatkan sajian ayam tempayan sentuhannya bukan biasa-biasa.

Tidak bergantung kepada itu sahaja, pengasas Ayam Tempayan Serkam yang terletak di Serkam, Melaka turut mengambil berat soal pemilihan tempayan.

"Saya telah mengubah suai saiz (tempayan) yang berukuran 0.6 meter (m) lebar dan 0.75m tinggi bagi memastikan 13 ekor ayam dapat dipanggang serentak dan sempurna. Prinsip saya, ayam mesti garing di luar dan lembut di dalam.

"Tempoh untuk memasak semua sajian ini mengambil masa lebih empat jam lamanya.

"Seperti yang saya katakan tadi, jenis arang yang digunakan juga penting dan itu sebab saya pakai arang kayu bakau yang mempunyai 'aroma' asapnya yang lebih wangi," kata bapa kepada dua anak itu.


Pada masa sama, Hisham turut mengakui, antara faktor Ayam Tempayan Serkam terus mendapat tempat dalam kalangan pelanggan adalah disebabkan perapan rempah ratus yang digunakan.

"Selain serai, bawang putih, campuran herba terpilih dan pelbagai jenis kicap digunakan, gula melaka merupakan salah satu rahsia yang membuatkan rasa hidangan kami lebih menyelerakan.



"Satu lagi yang saya boleh kongsikan adalah penggunaan daun limau purut dan minyak bijan. Nak tahu bagaimana paduan rasanya, kenalah cuba dulu," kata pengusaha berusia 43 tahun itu yang sudah membuka beberapa cawangan di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Dalam sehari, premis berkenaan mampu menjual 90 ekor ayam segar yang diperoleh dari Pertubuhan Peladang Merlimau.

“Apa yang pasti, prosedur pemprosesan ayam dijamin halal dan saya memilih saiz jumbo dengan berat anggaran 1.6 hingga 1.7 kilogram (kg) selain saiz ayam biasa seberat 1.3 hingga 1.45kg sahaja,” katanya.

Buat pelanggan yang ingin mencuba kulinari menyelerakan itu, Hisham menasihatkan supaya membuat tempahan sehari lebih awal sebelum berkunjung ke gerai berhampiran bagi mengelak kempunan.

"Ramai yang datang kadang-kadang tidak dapat beli kerana semuanya habis terjual. Sebab itu, saya selalu buka tempahan secara dalam talian bagi memudahkan orang ramai dan tak mahu lebih ramai kecewa,” ujar anak jati Johor itu yang sentiasa mengemas kini pesanan di platform media sosialnya.



Ayam Tempayan Serkam

Alamat: Melaka (Serkam, Pokok Mangga dan Bertam Ulu), Negeri Sembilan (Seremban), Selangor (Shah Alam)

Waktu operasi: 11 pagi hingga 3 petang

Menu signatur: Ayam tempayan

Harga: RM27 hingga RM30

Facebook: Ayam Tempayan Serkam


Ayam yang dimasak dalam tempayan sudah menjadi trend sejak beberapa tahun lalu.

Namun, mahu mencari yang sedap dan kena dengan selera, perlu banyak eksplorasi ke sana dan ke sini.

Jika Ayam Tempayan Serkam berjaya memikat hati pengunjung di Melaka, terdapat beberapa lokasi lain yang menyajikan sajian sama dengan rasa tersendiri.

Berikut empat destinasi yang boleh dipertimbangkan pembaca jika berada di kawasan berhampiran.



Nasir Ayam Tempayan

Alamat: Simpang Jalan Taman Sejahtera, Lunas, Kedah

Waktu operasi: Bermula jam 11 pagi sehingga habis

Menu signatur: Ayam tempayan

Harga: RM20 hingga RM22

Facebook: Nasir Ayam Tempayan



Ayam Tempayan Ustaz

Alamat: Jalan Nuri 7, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor

Waktu operasi: 10 pagi hingga 7 malam

Menu signatur: Nasi ayam tempayan

Harga: RM6 hingga RM9

Facebook: Nasi Ayam Tempayan Ustaz - Kota Damansara



Ayam Madu Tempayan

Alamat: Berhadapan Dewan Komuniti Taman Cempaka, Ipoh, Perak

Waktu operasi: Bergantung kepada tempahan

Menu signatur: Ayam tempayan

Harga: Set nasi (RM6) dan ayam bermula RM13 hingga RM25

Facebook: Nur Izzatul Ain


Ayam Tempayan JB

Kawasan penghantaran: Sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru

Waktu operasi: Bergantung kepada tempahan

Menu signatur: Ayam tempayan

Harga: RM20

Facebook: D'Tempayan Station



Saturday, January 29, 2022

#PRNJohor: Tok Mat dilantik Pengarah Pilihan Raya BN


#PRNJohor: Tok Mat dilantik Pengarah Pilihan Raya BN

[Sumber: https://pakdin.my/?p=154003]

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan dilantik sebagai Pengarah pilihan raya negeri (PRN) Johor parti itu.

Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, berkata pelantikan itu dibuat hasil mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Hasni Muhammad yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri dilantik sebagai Ketua Penyelaras.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju bagi memperkukuhkan jentera BN dan bergerak atas lambang BN secara bersama,” katanya dalam kenyataan.

BERITA LANJUT MENYUSUL

30 tahun 'derita' jalan tidak berturap di Rantau Panjang

 


30 tahun 'derita' jalan tidak berturap di Rantau Panjang

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153998]

RANTAU PANJANG - Lebih 20 buah keluarga di Kampung Perol Lubok Tegayong, Tok Uban di sini 'menderita' sejak 30 tahun lalu apabila laluan masuk ke rumah mereka tidak berturap sekaligus mengundang bahaya setiap kali musim hujan.

Dakwa penduduk situasi menjadi lebih bahaya terutama pada waktu malam kerana mereka sukar untuk mengagak laluan tersebut disebabkan oleh suasana yang sangat gelap tanpa kemudahan lampu jalan.

Wakil penduduk, Idris Jusoh, 65, berkata, mereka sudah tidak sanggup untuk mengharungi 'penderitaan' itu yang berlarutan sejak 30 tahun lalu.

"Kami telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkenaan dan difahamkan ia sudah diluluskan. Malangnya jalan sejauh lima kilometer ini masih belum berturap.

"Jadi saya merayu supaya laluan utama kami ini dapat diturap dengan secepat mungkin," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurutnya, ekoran jalan tidak sempurna itu dia akan mengalami masalah ngilu pada bahagian tulang yang patah akibat kemalangan sebelum ini.

Katanya, setiap kali menggunakan laluan tersebut dia terpaksa 'melupakan' seketika kesakitan kerana itulah pilihan terbaik yang ada.

Seorang lagi penduduk, Rosmini Ismail, 48, berkata, permukaan jalan yang tidak rata menyebabkan dia hampir mengalami kemalangan.

"Sampai bila kami perlu berdepan dengan kepayahan ini sedangkan kami layak untuk menikmati kemudahan itu.

"Jadi saya merayu kepada pihak berkenaan terutama wakil rakyat untuk segera menyelesaikan masalah ini," katanya.

Che Deraman Daud,62, berkata, sebelum ini penduduk telah berpakat mengumpul dana bagi membaiki jalan tersebut dengan menambun batu.

Katanya, inisiatif secara bergotong-royong itu bagi memastikan penduduk dapat menggunakan jalan tersebut dalam keadaan selesa walaupun serba kekurangan.

Dia berkata, semakin hari jalan yang ditambun batu semakin berlopak dan tidak mampu untuk menampung kenderaan yang keluar masuk.


Bekas TYT Sarawak Tun Salahuddin meninggal dunia

 


Bekas TYT Sarawak Tun Salahuddin meninggal dunia

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153987]

KUCHING -- Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, 100, meninggal dunia pada 11.47 malam ini di Pusat Perubatan Normah di sini akibat sakit tua.

Perkara itu disahkan oleh menantu Allahyarham, Wan Ibrahim Omar kepada Bernama.

Beliau berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang namun waktunya belum diputuskan.

Tun Salahuddin, yang lahir pada 27 Ogos 1921, menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014.

Allahyarham merupakan individu pertama yang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali.

Pada 2000, Tun Salahuddin menjadi pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak kerana penyandang jawatan itu Tun Ahmad Zaidi Adruce tidak dapat menjalankan tugas kerana jatuh sakit.

Tun Ahmad Zaidi meninggal dunia pada Disember 2000 yang menyaksikan Tun Salahuddin dilantik semula secara tetap ke jawatan itu pada Februari 2001 dengan penggalnya berakhir secara rasmi pada 28 Feb 2014.

Friday, January 28, 2022

Iqbal dakwa Vida alami gangguan mental

 


Iqbal dakwa Vida alami gangguan mental

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153922]

Biarpun sudah meminta maaf secara terbuka, isu mulut celupar mulut Datuk Seri Vida yang sesuka hati melabelkan penyanyi terkenal tanah air, Anuar Zain sebagai pengamal hubungan homoseksual atau gay terus mengundang banyak pendapat.

Terbahatu, kekecohan yang dicetuskan jutawan kosmetik itu turut mengundang perhatian ahli perniagaan merangkap bekas pembantu peribadinya, Iqbal Zulkefli yang kini sudah tinggal di Jakarta, Indonesia.

Iqbal yang juga bekas kekasih Vida secara terbuka mendakwa ‘bakal isteri tak jadinya’ itu mempunyai masalah penyakit Narcissistic Personality Disorder (NPD) atau Gangguan Personaliti Narsistik.

Katanya, Vida mempunyai ciri-ciri NPD iaitu mengalami keadaan mental berderia kuat dalam menjaga kepentingan diri sendiri, keperluan yang mendalam untuk meraih perhatian dan kekaguman berlebihan.

“Kalian tidak sedarkan beliau sering membuli orang untuk menaikkan nama sendiri?

“NPD adalah orang yang suka memanipulasi, suka menyalahkan orang lain atas kesalahan sendiri namun sangat mudah tersentuh jika menerima sedikit teguran,” kata pemilik nama penuh Ahmad Iqbal Zulkefli itu menerusi Instagram.

Menerusi perkongsian sama, Iqbal turut menerangkan individu yang mempunyai masalah penyakit disebutkan sebenarnya tidak sedar dirinya sedang berbohong.

“Suka berfantasi dirinya paling berkuasa. Orang yang mengalami masalah mental ini akan membuatkan mangsa sengsara jika tidak dapat apa yang diinginkan,” tulisnya merujuk kepada Vida.

Terdahulu, Iqbal mengambil keputusan berhijrah ke seberang pada November 2021 untuk mencari ketenangan selepas kisah kahwin tak jadinya Vida dikecam hebat.

Hubunganny mereka menjadi tegang sejak perancangan untuk mendirikan rumah tangga mendapat tentangan anak-anak wanita itu, sehinggalah berlanjutan dengan perpisahan kononnya angkara sihir yang akhirnya membawa kepada perang media sosial tanpa penghujung.

Menyemai tanaman

Menyemai terung, cili dan kucai ungu menggunakan dulang semaian dan medium peat moss.

Thursday, January 27, 2022

Kertas siasatan gangguan seksual Adun Sedili lengkap

 


Kertas siasatan gangguan seksual Adun Sedili lengkap

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153811]

JOHOR BAHRU – Kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain sudah lengkap dan dirujuk ke Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada badan perundangan itu. 

“Kertas siasatan sudah lengkap, kita telah majukan kepada bahagian perundangan untuk mereka teliti (hasil siasatan). 

“Kita masih menunggu keputusan,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin. Rasman IthnainKamarul Zaman berkata, sehingga kini seramai 11 individu telah dipanggil termasuk Rasman serta Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu, Bahagian Kota Tinggi. 

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi, 17 Januari lalu. 

Menerusi laporan tular itu, mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri ADUN berkenaan bermula dengan kejadian pertama pada 2 Januari lalu namun bertindak mendiamkan diri kerana takut berlaku perkara yang tidak diingini. 

Kejadian kedua dan ketiga pula berlaku pada 3 dan 12 Januari namun mangsa mendakwa tidak berani untuk menceritakan perkara itu kerana memikirkan status selain bimbang dinafikan perkara itu. 

Mangsa akhirnya nekad untuk membuat laporan polis selepas diraba di bahagian sulit pada kejadian terakhir berlaku, 13 Januari lalu.

#PRNJohor: PPBM bakal terkubur



#PRNJohor: PPBM bakal terkubur

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153709]

Pilihanraya (PRN) Negeri Johor langsung tiada kaitan dengan Mahkamah, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Razlan Rafii menjawab dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful.

Razlan menjelaskan bahawa Dewan Undangan Negeri Johor menjadi tidak stabil oleh kerana majoriti tipis selepas pemergian ADUN Kempas Dato Osman Sapian.

“Yang terjadi adalah pemergian bekas Menteri Besar ke Ramahtullah dan telah menyebabkan mejoriti amat tipis didalam Kerajaan Johor,

“Pelabur tidak mahu masuk melabur, keadaan DUN ibarat telur di hujung tanduk dan pelbagai isu berbangkit berkenaan dasar Kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Razlan, Wan Saiful membuat dakwaan sedemikian kerana sudah hilang modal dan sedar parti beliau akan menerima nasib yang sama seperti di PRN Melaka.

Jelasnya lagi, dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan campur tangan isu Hakim juga merupakan perkara yang separa benar.

“Kenapa Muhyddin tidak menyatakan semua ini dengan jelas? Permintaan menukar Pendakwaraya bukan satu yang rahsia dan dibuat secara rasmi, hakim juga yang akan menentukan keputusan,” katanya.

Sikap menyemai kebencian tanpa fakta sudah lama dimainkan oleh Muhyiddin dan PPBM.

Namun, rakyat hari ini lebih bijak menilai dan tidak akan dibodohkan sekali lagi dengan permainan emosi.

Barisan Nasional hanya ingin memberi semula kestabilan dan kemakmuran kepada kehidupan rakyat.

Rakyat tidak boleh sekali lagi terjerumus dalam kancah emosi yang melampau sehingga mendapat kerajaan yang gagal selepas PRU14.

Untuk kita membina keyakinan semua pihak, dalaman dan luar negara, pelabur serta perniaga, kerajaan perlu stabil dan meyakinkan, itu lah isu paling penting, bagi memberi semula kehidupan yang sediakala kepada rakyat.

 

#PRNJohor: ‘Tungganglah Vellfire, jangan tunggang agama’

 


‘Tungganglah Vellfire, jangan tunggang agama’

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153828]

Penceramah terkenal, Dr Rozaimi Ramle menyifatkan kenyataan anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik, berhubung isu kerjasama Pas dan UMNO tidak mengejutkan sama sekali.

Jelas beliau sejak dahulu lagi sesuatu pakatan politik itu lazimnya bersifat anjal dan berbentuk ijtihad.

Tambah Rozaimi, sebelum ini pun beliau telah memberi peringatan apabila Mokhtar mendakwa “malaikat bertakbir” dengan termeterainya piagam ditandatangani PAS dan UMNO pada 14 Sept 2019.

“Apabila melihat kenyataan terbaru Mokhtar berkenaan Umno saya hanya mampu tersenyum kerana dari awal telah memberikan teguran kepada beliau apabila dulu berkata kesepakatan itu akan membuatkan malaikat bertakbir bergema seluruh alam dan Muafakat Nasional (MN) adalah piagam yang menggetarkan hati syaitan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Mokhtar menyifatkan UMNO kini kelihatan sangat ghairah untuk kembali berkuasa secara bersendirian di sebalik hubungan yang dijalin dengan PAS dalam MN dulu.

Katanya, keghairahan itu semakin memuncak selepas UMNO berjaya menukar perdana menteri – daripada Muhyiddin Yassin kepada Ismail Sabri Yaakob – dan kemenangan besar mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) di Melaka pada Nov tahun lalu.

Kini, katanya, digerakkan pula cubaan UMNO untuk menguasai Johor dengan mengetepikan PAS.

Selain itu, Rozaimi juga mempersoalkan siapakah yang telah mengikut “telunjuk syaitan” sehingga menggugat kesepakatan dicapai PAS dan UMNO melalui MN.

Dia juga mengingatkan agar tidak ada mana-mana pihak menggunakan agama untuk kepentingan politik kepartian.

“Agama dan nas adalah panduan untuk orang politik, bukan tunggangan ahli politik. Ada beza antara dua keadaan ini.

“Tungganglah Vellfire umpamanya, janganlah tunggang agama,” katanya.




[Video] #PRNJohor: PPBM Tebrau terkubur, Mazlan Bujang umum keluar parti


#PRNJohor: PPBM Tebrau terkubur, Mazlan Bujang umum keluar parti

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153833]

JOHOR BAHRU: Ketua Bahagian PPBM Tebrau, Mazlan Bujang, hari ini, meletak jawatan ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi PPBM Johor, berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini.

Bagaimanapun, beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya juga berpendirian untuk menyokong Datuk Hasni Mohammad untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar Johor.

"Ia bagi mewujudkan kestabilan politik demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat Johor," katanya.

Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha PPBM Bahagian serta pegawai dan beberapa ahli jawatankuasa PPBM Tebrau.

Wednesday, January 26, 2022

[Video] Lima kereta rosak dalam kejadian tanah runtuh, mendap di Serdang


 [Video] Lima kereta rosak dalam kejadian tanah runtuh, mendap di Serdang

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153802]

SERDANG – Sebanyak lima buah kereta yang diletakkan berhampiran deretan rumah kedai di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, di sini, rosak selepas berlaku pemendapan serta runtuhan tanah hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tanah runtuh itu pada jam 6.38 petang.

Katanya, bertindak atas panggilan itu, seramai enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi, pemerhatian bomba mendapati berlaku pemendapan tanah berhampiran longkang sehingga mengakibatkan lima kenderaan pelbagai jenis yang diberhentikan di tempat itu turut ‘tenggelam’ bersama dalam runtuhan itu dan mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Norazam, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kemalangan jiwa atau mangsa terperangkap dalam insiden pukul 6.30 petang itu.

“Kita sedang menjalankan permantauan rapi di lokasi kejadian pemendapan serta runtuhan tanah itu untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beberapa saksi awam mendakwa kejadian berlaku begitu pantas yang bermula dengan rekahan kecil sebelum pergerakan tanah berlaku.

Difahamkan sebelum kejadian berlaku, hujan lebat melanda di kawasan tersebut dan keadaan arus deras di parit berhampiran lokasi tanah runtuh itu.

Menurut bomba, berdasarkan saksi di lokasi sebanyak lapan buah kereta berjaya dialihkan sebelum tanah runtuh.

Monday, January 24, 2022

SRC: Satu lagi pendedahan mengejutkan



 SRC: Satu lagi pendedahan mengejutkan

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153739]

Pendakwa raya dalam kes SRC tidak pernah mendedahkan kepada pasukan pembelaan Najib bahawa Nik Faisal pernah mengambil mana-mana wang SRC.

Malah, pihak pendakwa sebenarnya memberitahu mahkamah bahawa Nik Faisal tidak menerima sebarang wang SRC apabila berhujah bahawa Nik Faisal tidak mempunyai kepentingan peribadi dan beliau bertindak atas arahan Najib.

Ini juga alasan yang diberikan oleh pihak pendakwa (yang dipersetujui oleh hakim) untuk menolak fakta bahawa 14 arahan pemindahan dana kepada bank (yang diterima oleh bank) telah dipalsukan.

(Dan tidak, hakim tidak pernah menegur atau mengambil tindakan ke atas pihak pendakwa kerana mengemukakan begitu banyak dokumen palsu sebagai bahan bukti rasmi mahkamah untuk diterima sebagai benar. Hakim mahupun pihak pendakwa juga tidak peduli untuk mengetahui siapa yang memalsukan tandatangan tersebut pada pemindahan dana bernilai puluhan berjuta-juta.)

"None of SRC's money went to Nik Faisal's account, argues prosecution"

https://www.theedgemarkets.com/article/none-srcs-money-went-nik-faisals-account-argues-prosecution

Sekarang kita tahu adalah tidak benar Nik Faisal tidak menerima wang.

Hari ini, SPRM mendedahkan bahawa selain keluarga Zeti dan Nor Mohd Yakcop, Nik Faisal juga menerima sekurang-kurangnya RM3.6 juta untuk disembunyikan dalam akaun di Singapura yang telah dikembalikan oleh kerajaan Singapura.

"Pembabitan individu-individu tersebut dikuatkan lagi, apabila Commercial Affairs Department (CAD) Singapura pada 12 November lalu, membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) Kementerian Kewangan Malaysia bernilai RM 3,617,513.91 (AS$ 864,813.27).'

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/01/zeti-nor-mohamed-nik-faisal-disiasat-sprm/

Pendakwa raya perlu memberi jawapan. Mengapa menyembunyikan bukti ini dan mengapa berbohong kepada mahkamah bahawa Nik Faisal tidak mengambil wang?

RM3.6 juta BUKANnya "tiada".






Sunday, January 23, 2022

Umno Kelantan kata ‘putus’, tapi PAS kata tidak

 


Umno Kelantan kata ‘putus’, tapi PAS kata tidak

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153716]

Walaupun Umno Kelantan memutuskan kerjasama hari ini, PAS akan terus mengekalkan hubungan dengan parti itu hingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ahmad Yakob melalui Facebooknya menjelaskan, keputusan itu dibuat semasa mengadakan perjumpaan dengan Biro Politik Umno petang tadi.

“Kita (PAS) akan mengekalkan hubungan (dengan Umno) Kelantan sehingga PRU15,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Mohd Nasaruddin Daud ketika dihubungi FMT turut mengesahkan perkara itu.

Terdahulu, pemimpin Umno dan PAS Kelantan mengadakan pertemuan di kediaman rasmi Menteri Besar petang tadi.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakob memutuskan kerjasama dengan PAS negeri.

Jazlan memaklumkan penamatan kerjasama itu berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan itu dibuat memandangkan PAS masih menjalankan kerjasama dengan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, keputusan tidak bekerjasama itu dibuat selepas mencapai kata sepakat daripada pimpinan Umno negeri susulan mesyuarat khas dengan pimpinan PAS negeri petang tadi.


Wayang #PRNJohor: Kerjasama Pas-UMNO Kelantan kekal hingga PRU15 kata Pesuruhjaya PAS Kelantan 😁

 


Wayang #PRNJohor: Kerjasama Pas-UMNO Kelantan kekal hingga PRU15 kata Pesuruhjaya PAS Kelantan 😁

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153711]

WAYANG PRN Johor sudah bermula...

KOTA BHARU - Pas Kelantan menegaskan hubungan kerjasama antara parti itu dengan UMNO di negeri ini masih lagi kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Perkara itu dikongsikan oleh Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Sabtu.


"Pas Kelantan masih mengekalkan hubungan dengan UMNO Kelantan sehingga PRU15.


"Keputusan ini dibuat semasa perjumpaan dengan Biro Politik UMNO petang ini," katanya.


Sebelum itu dilaporkan, UMNO Kelantan mengambil keputusan memutuskan kerjasama dengan Pas Kelantan melalui Muafakat Nasional (MN) berkuat kuasa serta-merta.


Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ketetapan tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas selepas pertemuan bersama Pas negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.


Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas Pas tetap menjalinkan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menuju PRU15.



Saturday, January 22, 2022

Nescafe Tarik tepi jalan

Nescafe tarik buih lebih

#PRNJohor: Sultan Johor perkenan bubar DUN Johor

 


#PRNJohor: Sultan Johor perkenan bubar DUN Johor

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153698]

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), diadakan.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada pertemuan bersama Sultan Johor itu, Hasni diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran DUN Johor.

"Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta'zim termansuh pada 22 Januari 2022," jelas hantaran itu dalam akaun rasmi Sultan Johor, hari ini.


Dakwaan kesihatan Tun M merosot, pengamal media berkampung di IJN

 


Dakwaan kesihatan Tun M merosot, pengamal media berkampung di IJN

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153694]

Pengamal media mula berkumpul di hadapan Institut Jantung Negara (IJN) bagi mengikuti perkembangan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ia susulan timbul dakwaan kesihatan Tun Mahathir Mohamad berada dalam keadaan membimbangkan di pusat perubatan itu.

Bagaimanapun, IJN ketika dihubungi sebentar tadi memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung perkembangan semasa kesihatan bekas Perdana Menteri tersebut.

Pasukan komunikasi Dr Mahathir berkata satu kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi, tetapi enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, bekas Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh tersebut pernah dimasukkan ke IJN untuk kali kedua pada 7 Januari lalu bagi menjalani prosedur perubatan elektif di hospital berkenaan.

Sementara pada 16 Disember lalu, Mahathir turut dimasukkan ke IJN buat kali pertama bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan dibenarkan keluar hospital kira-kira lapan hari kemudiannya.

Bapa Pemodenan itu yang berusia 97 tahun juga merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

#PRNJohor: ‘Dah dapat persetujuan adakan PRN’, Hasni bergegas menghadap Sultan Johor

 


#PRNJohor: ‘Dah dapat persetujuan adakan PRN’, Hasni bergegas menghadap Sultan Johor

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153688]

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Hasni Mohammad bergegas menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selepas selesai mesyuarat Umno negeri sebentar tadi.

Hasni ketika ditemui media berkata beliau sudah mendapat persetujuan daripada Umno Johor untuk mengadakan pilihan raya negeri.

“Saya akan buat sidang media pada 6 petang ini, kerana saya akan bermesyuarat dahulu dengan barisan Exco kerajaan negeri dan selepas itu melakukan pertemuan bersama Baginda Sultan Ibrahim.

“Semua akan dijelaskan pada 6 petang ini, yang utama saya sudah mendapat consent (persetujuan) oleh Umno untuk adakan PRN,” katanya ringkas.

Sebentar tadi Hasni mempengerusikan mesyuarat Umno peringkat negeri dihadiri semua 26 ketua bahagian yang berlangsung selama sejam.

Pemimpin yang dilihat hadir ialah Shahrir Samad, Azalina Othman Said, Hishammuddin Hussein, Dr Adham Baba, Mohamed Khaled Nordin dan Puad Zarkashi.

Isyarat DUN Johor dibubarkan mula hangat diperkatakan sejak akhir tahun lalu, apabila beberapa siri mesyuarat berlangsung membabitkan Badan Perhubungan Umno negeri bersama Presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan pusat terutama selepas kematian ADUN Kempas, Osman Sapian, pada 21 Dis lalu.

Kerajaan negeri sebelum ini menyatakan akan meneliti kedudukan semasa DUN dalam membuat pertimbangan sama ada PRN perlu diadakan atau sebaliknya.

Johor memiliki 56 kerusi DUN dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu), manakala Amanah (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Osman.



Menteri Luar Malaysia tidak memiliki seni diplomasi, kata Hun Sen, Perdana Menteri Kemboja

 


Ini lah punca banyak negara menjauhi Malaysia terutama dalam soal perdagangan dan pelaburan.

Menteri Luar Malaysia tidak memiliki seni diplomasi, kata Hun Sen, Perdana Menteri Kemboja

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153672]

Phnom Penh (FN), 21 Jan – Sebagai pengerusi penggiliran ASEAN 2022, perdana menteri Kemboja Hun Sen memberi reaksi keras terhadap kenyataan menteri luar Malaysia Saifuddin Abdullah yang mengkritik lawatan rasmi beliau ke Myanmar dalam temu bual dengan Aljazeera.

Semasa perbualan telefon dengan presiden Indonesia Joko Widodo, perdana menteri Hun Sen menghantar mesej kepada menteri luar Indonesia dan meminta beliau menyampaikan mesej itu kepada rakan sejawatannya dari Malaysia, menurut menteri pengiring, Kao Kim Hourn pada hari Jumaat.

“Sebagai menteri luar dan diplomat, beliau (Saifuddin Abdullah) tidak sepatutnya menggunakan kata-kata kurang ajar secara tidak diplomatik di Pengerusi dan Ketua Kerajaan ASEAN,” Kao Kim Hourn memetik perdana menteri sebagai berkata.

“Lawatan Samdech Hun Sen ke Myanmar pada 7-8 Januari 2022 adalah untuk menanam pokok, bukan menebang pokok, dan menanam pokok tidak akan langsung berbuah kerana ia memerlukan masa. Resolusi politik yang berpanjangan memerlukan masa dan kerja yang komprehensif," Kim Hourn meneruskan sambil menambah bahawa "perdana Hun Sen percaya bahawa menteri luar Malaysia tidak memiliki seni diplomasi."

=FRESH NEWS





Sambal Jengkol

Sambal Jengkol
Kedai Nasir dBusStop Kerling

Friday, January 21, 2022

[Video] 5 maut, lori kontena 20 tan rempuh puluhan kenderaan


5 maut, lori kontena 20 tan rempuh puluhan kenderaan

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153659]

SEKURANG-KURANGNYA, lima terkorban dalam kemalangan jalan raya membabitkan lori kontena di Balikpapan, Kalimantan Timur, Indonesia pada pagi Jumaat.

Rakaman CCTV yang tular di media sosial menunjukkan lori tersebut merempuh kira-kira 20 kenderaan yang berhenti semasa lampu isyarat merah.

Memetik laporan Kompas TV, insiden berlaku di persimpangan jalan Muara Rapak, Balikpapan kira-kira jam 6.15 pagi Jumaat (waktu tempatan).

Menurut Ketua Polis Trafik Kalimantan Timur, Sony Irawan, setakat ini, pihak berkuasa masih mengenal pasti jumlah keseluruhan mangsa korban serta jumlah kenderaan yang terlibat.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV, kemalangan dipercayai berlaku akibat kegagalan brek lori tersebut.

Jurucakap Polis Kalimantan Timur, Yusuf Sutejo berkata, pemandu lori yang dikenal pasti sebagai M.Ali, 47 tahun, kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Balikpapan.

“Trak dengan muatan kontena 20 kaki itu mengandungi kapur pembersih air dengan berat 20 tan.

“Di depan simpang Muara Rapak adalah bundaran (bulatan), jadi dia berhenti setelah menabrak sejumlah kenderaan di situ,” kata Yusuf.

Menurut pemandu berkenaan, dia cuba memperlahankan lori ketika di persimpangan jalan, namun gagal akibat masalah brek, memetik laporan Kompas TV.

Rakaman CCTV serta rakaman video oleh beberapa saksi di lokasi kejadian tular di media sosial pada Jumaat.



6 perkara PLUS dan Touch n Go patut buat untuk pelaksanaan RFID lebih lancar

 


6 perkara PLUS dan Touch n Go patut buat untuk pelaksanaan RFID lebih lancar

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153534]

PLUS telah memulakan operasi RFID di semua plaza tol mulai hari Sabtu, 15 Januari yang lepas. Tetapi masalah besar bermula pada hari Isnin, 17 Januari apabila kesesakan luar biasa berlaku di beberapa plaza tol PLUS.

Orang ramai meluahkan rasa marah dan meninggalkan komen kerana kecewa dengan masalah yang timbul berkaitan RFID, mengakibatkan pihak PLUS terpaksa mematikan fungsi komen di Facebook rasmi PLUS Malaysia.

 

Ruangan komen dimatikan di Facebook PLUS Malaysia

Sebenarnya, RFID telah pun digunakan dengan meluas di lebuhraya sekitar Lembah Klang, dengan 1.5 juta pengguna RFID telah berdaftar. Jadi apa silapnya pada sistem RFID di PLUS sehingga mengakibatkan kesesakan trafik?

Ini cadangan yang boleh PLUS dan Touch n Go pertimbangkan untuk meningkatkan perkhidmatan dan kelancaran proses RFID di plaza tol.

 

1. Papan tanda laluan RFID yang jelas

Pelaksanaan RFID di lebuhraya PLUS bukan perkara kecil kerana ia adalah lebuhraya terpanjang di Malaysia, dengan 83 plaza tol dari Juru, Pulau Pinang sehingga Skudai, Johor. PLUS telah mempromosikan kesediaan RFID selama sebulan tetapi masih ada pengguna yang tidak sedar tentangnya.

Kerana itu, waktu sibuk pertama pada pagi hari Isnin menyaksikan kesesakan luar biasa terjadi, akibat kekeliruan orang ramai tentang laluan yang ada. Lebih parah lagi, laluan RFID tidak diseragamkan kedudukannya di plaza tol. Ada yang melaporkan bahawa pengguna SmartTAG memasuki laluan RFID tanpa menyedari ia telah ditukar. Satu silap membawa kepada puluhan kesilapan, sekaligus menyumbang kepada kesesakan luar biasa.

Untuk mengelakkan masalah ini berlaku, salah satu perkara yang boleh dibuat adalah meletakkan papan tanda yang besar dan jelas untuk menunjukkan laluan di plaza tol. Untuk beberapa minggu awal ini, jika laluan RFID ditempatkan di hujung kanan, kon penghadang boleh diletakkan lebih awal untuk memberi petunjuk ia adalah laluan yang berbeza dari yang lain.

Jika ada masalah di laluan RFID, kesesakan yang terjadi tidak akan memberi kesan teruk kepada pengguna Touch n Go dan SmartTAG yang lain. Sama juga, pengguna RFID tidak akan terganggu dengan masalah di laluan lain. Barulah orang ramai akan nampak kelebiha RFID.

2. Kakitangan sokongan sentiasa bersedia

Masalah akan sentiasa terjadi. Apa yang penting adalah sokongan untuk menyelesaikannya. Memandangkan ini adalah kali pertama PLUS menggunakan RFID, kakitangan yang sedia membantu harus bersedia di plaza tol. Palang penghadang RFID tidak akan terangkat jika baki tidak mencukupi atau tag RFID tidak dapat diimbas.

Berdasarkan pengalaman menggunakan RFID sejak ia diperkenal beberapa tahun lepas, kebanyakan masalah berlaku akibat masalah pengimbas dan boleh diselesaikan semudah berundur sedikit. Pengguna yang tersangkut buat kali pertama, mungkin tidak tahu tentang perkara ini dan ia boleh diselesaikan segera dengan adanya kakitangan yang bersedia dengan pengimbas RFID mudah alih.

3. Mengekalkan sekurang-kurangnya satu laluan SmartTAG di semua plaza tol

Plaza tol DUKE

Walaupun telah memberi jaminan akan mengekalkan laluan Touch n Go dan SmartTAG, beberapa pengguna SmartTAG meluahkan rasa kecewa kerana ada laluan SmartTAG telah diubah kepada RFID di beberapa plaza tol kecil. Akibatnya, mereka terpaksa beratur di laluan Touch n Go yang perlahan, dan ini menyumbang kepada kesesakan.

Adalah lebih rasional mengekalkan satu laluan SmartTAG di semua plaza tol. Ada yang memberi cadangan, PLUS sepatutnya menukar lorong Touch n Go kepada RFID, bukannya SmatTAG. Atau, sediakan laluan hibrid SmartTAG + RFID jika kekurangan laluan di plaza tol yang kecil.

4. Mengaktifkan PayDirect secepat mungkin

Plaza tol LDP

Walaupun telah mula mengoperasikan RFID, PLUS masih belum menyokong pembayaran PayDirect buat masa ini. Dengan PayDirect, pengguna boleh menghubungkan kad Touch n Go yang juga terdapat di dalam kad pengenalan, kepada eWallet Touch n Go. Ini memudahkan tambah nilai dibuat secara dalam talian menggunakan kad debit, kredit atau perbankan terus. Ia juga banyak membantu kerana tidak perlu lagi beratur atau mencari tempat untuk menambah nilai kad fizikal Touch n Go, sambil dikenakan caj 50 sen.

Pengguna PayDirect juga boleh menikmati kemudahan tambah nilai automatik dan mengurangkan lagi masalah tidak cukup baki di plaza tol. Perlu dijelaskan, PayDirect tidak menggunakan baki di kad fizikal Touch n Go, dan hanya berfungsi di lebuhraya terpilih. Di laluan RFID, baki akan ditolak daripada eWallet, bukannya kad fizikal.

PLUS pernah menyatakan bahawa RFID akan menyokong lebih banyak jenis pembayaran, termasuk PayDirect, kad debit dan kad kredit menerusi sistem pembayaran terbuka. Ia telah dimaklumkan sejak 2019 tetapi masih tidak diketahui bila akan dilaksanakan.

5. Uji RFID dan memastikan ia berfungsi

Kepada pengguna yang membeli kit pemasangan sendiri RFID, anda tidak ada cara untuk mengetahui sama ada tag yang dipasang berfungsi atau tidak. Tidak seperti di pusat pemasangan berdaftar, pengguna tidak boleh menguji TAG RFID yang dipasang sendiri melainkan pergi ke plaza tol sebenar. Jika bernasib baik, anda hanya perlu berundur sedikit dan tag tersebut berfungsi kali kedua.

Walaupun cara pemasangan RFID nampak mudah, pasti ada beberapa orang yang melakukan kesilapan memasang atau merosakkannya ketika memasang. Mungkin juga tag tersebut rosak semasa dihantar.

Untuk memberi kelegaan dan jaminan kepada pengguna, Touch n Go dan operator lebuhraya boleh menyediakan laluan ujian RFID di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau tempat yang mudah dikunjungi untuk pengguna menguji tag RFID mereka. Jika ia gagal dan tidak berfungsi, Touch n Go boleh terus menawarkan penggantian secara percuma.

Jika anda tidak tahu, Touch n Go ada menyediakan satu kali penggantian percuma untuk tag RFID dan ia boleh dimohon dengan menghubungi Touch n Go. Jika anda memasangnya di pusat pemasangan berdaftar, anda boleh kunjungi mereka semula untuk penggantian. Tetapi penggantian percuma ini hanya untuk pengguna yang membeli tag RFID selepas 15 Februari 2020. Pengguna rintis RFID yang mendapat tag secara percuma, tidak layak dan perlu membayar RM35 untuk mendapatkan tag yang baru.

6. Lebih ganjaran bertukar kepada RFID

Touch n Go kini menawarkan RM5 pulangan tunai dan penghantaran percuma jika membuat tempahan tag RFID menerusi eWallet. Jika Touch n Go dan operator lebuhraya mahu lebih ramai orang menggunakan RFID, mereka patut menyediakan lebih banyak insentif untuk memacu penggunaan RFID.

Ada yang mengadu, apa yang mereka perlu buat dengan SmartTAG yang dibeli berharga RM100+ selepas bertukar kepada RFID? Touch n Go boleh menawarkan program tukar beli SmartTag kepada RFID dan memberi bonus dalam bentuk kredit eWallet. Selain itu, Touch n Go juga boleh bekerjasama dengan pengeluar kenderaan untuk menyediakan tag RFID siap bersama kenderaan mereka yang dijual bermula tahun ini.

Pengguna lebuhraya pasti dapat melihat kelebihan RFID dan sedia berhadapan masalah kecil di awal pelaksanaan RFID, jika ia ditawarkan dengan pulangan tunai, diskaun atau hadiah menarik setiap kali transaksi RFID di plaza tol. Pastinya pengkritik tidak akan terlalu marah jika ada penjimatan untuk mereka setiap kali melalui tol di lebuhraya.

Seperti dimaklumkan sebelum ini, RFID adalah langkah pertama Malaysia menuju Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti Berbilang Laluan (MLFF) yang disasarkan pada tahun 2026, di mana tiada lagi laluan khas dan palang diletakkan untuk pembayaran tol. Sebelum mencapai MLFF, laluan RFID tanpa palang perlu disediakan menerusi Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti Laluan Tunggal (SLFF).

Perubahan kepada SLFF memerlukan lebih banyak persediaan dari segi undang-undang, untuk mengelakkan penipuan dan situasi salah bayar. PLUS telah melaksanakan Sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) tetapi perlu ada undang-undang yang jelas untuk memastikan tiada penipuan pembayar tol dan penguatkuasaan lebih ketat tentang rekaan nombor pendaftaran kenderaan.

Adakah anda berhadapan saat manis atau muram dengan RFID sekarang? Jika anda ada cadangan lain, boleh lontarkannya di ruangan komen di bawah.

BACA juga:

Original Article

Makan besar Tahun Baru Cina dibenarkan, tiada rumah terbuka

 


Makan besar Tahun Baru Cina dibenarkan, tiada rumah terbuka

[Sumber: https://pakdin.my/?p=153562]

Masyarakat Cina yang bakal merayakan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Februari depan boleh meneruskan tradisi makan besar keluarga pada malam sebelum perayaan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kebenaran itu bagaimanapun hanya untuk ahli keluarga sahaja tanpa penglibatan orang luar.

Menurutnya, pihak kementerian telah membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) Tahun Baharu Cina 2022 dalam Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 Bilangan 1 Tahun 2022 dan ia telah diluluskan.

“Acara Makan Keluarga (Family Reunion Dinner) yang diadakan pada malam sebelum hari pertama perayaan dibenarkan dibuat dalam kalangan ahli keluarga sahaja.

“Upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam pada 1 dan 2 Februari (raya pertama dan kedua) juga dibenarkan serta aktiviti Sembahyang Khas Hokkien Clan pada 8 dan 9 Februari 2022 dibenarkan mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

“Aktiviti keagamaan dihalaman rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan Tahun Baru Cina bagi ‘Hokkien Clan’ turut dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar SOP Sambutan Tahun Baru Cina 2022 bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, hari ini.

Tambahnya lagi, Sembahyang Chap Goh Mei pada 15 Februari 2022 di rumah selain Selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 dibenarkan begitu juga aktiviti ziarah.

Halimah berkata, Resepsi Tahun Baru Cina pula hanya dibenarkan kepada yang mendapat jemputan.