PRN: Peranan media sosial dan masa depan rakyat Malaysia


PRN: Peranan media sosial dan masa depan rakyat Malaysia

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/166448

TANGGAL 12 Ogos 2023 bakal menentukan nasib ahli politik di enam negeri. Melihat kepada apa yang berlaku sewaktu pilihan raya umum tahun lalu, antara faktor utama yang memainkan peranan penting menentukan kemenangan parti politik seperti Pas banyak dipengaruhi oleh media sosial.

Penggunaan media sosial yang meluas serta capaian kepada semua pihak masyarakat menyebabkan maklumat disampaikan lebih cepat dan tersebar dengan pantas.

Landskap politik negara mutakhir ini banyak dipengaruhi oleh media sosial seperti TikTok dan Twitter.

Keadaan ini tidaklah bermakna ia negatif semata-mata. Ada banyak manfaat yang boleh dijana dari medium ini sekiranya digunakan dengan betul.

Terkini, hampir semua ahli politik menggunakan medium TikTok untuk menyampaikan idea serta meraih undi.

Memandangkan sejumlah besar iaitu sebanyak 28.9 peratus atau hampir 2.8 juta pengundi terdiri daripada golongan belia berumur antara 18 hingga 29 tahun, maka kaedah yang digunakan sangat bersesuaian dengan golongan ini.

Daripada jumlah keseluruhan pengundi, 4,935,937 atau 50.17 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi terdiri daripada wanita.

Bagi Selangor, pengundi berumur 18 hingga 20 tahun (274,194 orang) direkodkan dan jumlah ini paling ramai berbanding di negeri lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Kesemua faktor demografik ini memainkan peranan penting bagi ahli politik dalam merancang maklumat, program serta aktiviti yang sesuai untuk menyantuni golongan ini.

Isu yang seharusnya diperhalusi adalah konten yang disiarkan serta kesan kandungan itu kepada golongan ini.

Lambakan maklumat yang tidak diketahui asal-usul serta kebenarannya tersebar secara meluas kepada setiap yang memiliki gajet yang berkaitan.

Cuti panjang sewaktu Covid-19 menyebabkan pendedahan kepada media sosial pada semua lapisan masyarakat dengan sangat drastik dan berterusan hingga kini terutama sekali kepada golongan muda.

Kenapa golongan muda? Ini kerana mereka dalam golongan 18 hingga 21 tergolong dalam kalangan awal dewasa, yang mana daripada segi perkembangan kognif, pada umumnya pemikiran mereka telah sempurna.

Bagaimanapun, pengalaman serta ilmu masih lagi banyak yang boleh dituntut. Justeru, mereka lebih mudah dipengaruhi memandangkan banyak masa dihabiskan dengan gajet dan melayari media sosial.

Data menunjukkan 60.9 peratus generasi Z (Gen Z) di negara ini lebih suka berinteraksi melalui platform media sosial berbanding bersemuka dengan guru mereka.

Maklumat yang pendek, ringkas dan padat serta menarik sangat sesuai dengan golongan muda.

Sama ada maklumat itu benar ataupun tidak, bagi golongan ini, ianya adalah perkara yang kedua.

Oleh yang demikian, sebagai ahli politik serta penyokong yang bertanggungjawab, adalah satu kewajipan memastikan maklumat serta sebaran yang dikongsikan tidak mengganggu perkembangan kognitif anak muda serta emosi semua pihak.

Dalam Islam jelas menunjukkan bahawa sebagai umat Islam, untuk menyampaikan dakwah perlu menggunakan kaedah yang berhikmah serta menggunakan kata-kata yang lembut surah Al-Nahl (16: Ayat 125).

Dakwah dalam konteks ini, bukan saja terkait agama atau teologi, tetapi setiap gerak langkah serta butir bicara yang diketengahkan oleh ahli politik yang bertanding.

Laporan terkini berkaitan remaja serta belia di dada-dada akhbar menunjukkan ekosistem yang melingkari kehidupan mereka adalah tidak sejahtera.

Laporan 'Facts and Figures' kesihatan mental golongan belia yang dikeluarkan oleh pihak Institut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES) menunjukkan enam daripada 10 belia Malaysia berada dalam keadaan kemurungan, tiga daripada 10 sentiasa berasa bimbang dan seorang daripada 10 berada dalam keadaan tertekan.

Kejadian terkini membabitkan seorang abang berumur 14 tahun mencekik adiknya yang berumur 9 tahun hingga mati antara contoh ketidak sejahteraan itu.

Dengan data yang ada, negara tidak mampu menanggung kehadiran ahli politik yang tidak matang dan menambah luka yang sedia ada parah pada golongan muda ini.

Penggunaan media sosial secara matang dan bertanggungjawab dalam kalangan ahli politik merupakan satu indikator bahawa peluang untuk Malaysia membangun dengan pesat adalah lebih cerah.

Sebagai rakyat Malaysia yang akan turut mengundi pada 12 Ogos ini, penulis mendambakan suasana politik yang mana masing-masing menonjolkan kekuatan mereka berbanding mengenengahkan kelemahan atau kekurangan pihak lawan.

Kelemahan dan kekurangan pasti akan ada dan boleh dijumpai selagi kita bergelar manusia.

"Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya." (HR Tirmizi).

Suasana membongkar aib ini ini sekiranya dibiarkan berterusan akan menyebabkan rasa hilang percaya golongan muda terutamanya terhadap keseluruhan sistem politik yang ada.

Ini seterusnya menjejaskan lagi Data Indeks Belia Malaysia (IBM) 2022 yang kembali menurun kepada 58.44 dan jatuh ke tahap kurang memuaskan selepas naik sedikit kepada tahap sederhana pada 2021 (60.31).

Peningkatan skor domain ini pada IBM 2021 seharusnya digunakan dengan sebaiknya untuk mendapat dan meningkatkan kepercayaan anak muda bagi memastikan mereka terus membabitkan diri secara positif dalam politik dan pembangunan negara.

Kenyataan terkait dengan isu fitnah serta penyebaran berita palsu serta mengaibkan harus dihentikan secara total oleh semua masyarakat Malaysia terutama sekali ianya terpakai untuk kesemua ahli politik serta keseluruhan jentera parti tidak kira atas tiket apa pun mereka bertanding.

Sesungguhnya matlamat tidak pernah menghalalkan cara.


Oleh: Profesor Dr Haslinda Abdullah

Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Profesor di Fakulti Ekologi Manusia

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma