Pembaikan cerun, Jalan Batang Kali-Genting Highlands bermula Ogos, siap Mac 2024


Pembaikan cerun, Jalan Batang Kali-Genting Highlands bermula Ogos, siap Mac 2024

 BACA seterusnya di: https://pakdin.my/166515

Kerja-kerja fizikal pembaikan cerun dan jalan di laluan Batang Kali-Genting Highlands akan bermula akhir Ogos ini dan dijangka siap pada Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata setakat ini kemajuan projek pembaikan berkenaan berjalan lancar sebelum kerja-kerja secara fizikal bermula.

"Selepas kejadian itu (tragedi tanah runtuh), kami terus buat kajian dengan konsultan dan cadangkan langkah-langkah penyelesaian kepada cerun yang runtuh. Projek ini telah diluluskan pada Mei 2023 dan kami telah buat lantikan (kontraktor) serta dijangka siap Mac 2024.

"Kerja-kerja pembaikan adalah secara reka dan bina. Kontraktor dalam fasa akhir untuk muktamadkan reka bentuk 'TerraLink wall system'. Kerja-kerja pembaikan fizikal dijangka bermula pada akhir Ogos 2023," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini.

Katanya kerajaan Selangor memperuntukkan kira-kira RM19 juta bagi proses pembaikan cerun dan laluan tersebut.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang masih menunggu ulasan daripada kerajaan Selangor, beliau berkata di peringkat negeri, pihaknya sedang menunggu laporan jawatankuasa siasatan kejadian tanah runtuh yang dilaksana dan diurusetiakan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).

"Laporan itu kini di peringkat draf akhir bagi pemakluman punca-punca kejadian dan cadangan tindakan yang perlu dilaksanakan," katanya.

Izham berkata buat masa ini hanya satu lorong sahaja dibuka dan terhad kepada pekerja di kawasan Genting Highlands.

Menurutnya lagi, beliau akan membuat lawatan di tapak projek berkenaan pada minggu hadapan bagi melihat kemajuan.

Tragedi 16 Dis 2022, pada kira-kira 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL