[VIDEO] Tragedi Kepala air: Hanya enam mayat ditemukan setakat ini bukan 9 - Polis


[VIDEO] Tragedi Kepala air: Hanya enam mayat ditemukan setakat ini bukan 9 - Polis


CHUKAI  -- Polis mengesahkan hanya empat mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di sini ditemukan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini, dan bukannya tujuh seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata kekeliruan itu timbul susulan masalah komunikasi di lokasi pencarian dengan Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini. 

"Untuk makluman, setakat hari ini kita telah jumpa enam mayat dan telah disahkan waris serta keluarga mangsa. Semalam kita jumpa dua, dan hari ini kita jumpa empat, menjadikan baki empat lagi mangsa masih hilang. 

"Pasukan pencarian di lokasi berdepan masalah komunikasi apabila alat komunikasi yang digunakan tidak boleh berfungsi dengan baik ekoran keadaan geografi hutan tebal dan berbukit-bukau," katanya pada sidang media di sini, petang ini. 

Beliau berkata operasi pada hari ini juga telah ditamatkan pada pukul 5 petang tadi atas faktor cuaca terutamanya di hulu kawasan hutan berkenaan yang menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya hujan lebat. 

Mazli berkata operasi SAR akan disambung semula esok bagi mengesan empat lagi mangsa yang masih hilang. 

Hari ini, sebanyak empat mayat berjaya ditemukan iaitu Karim Abdullah, 39, Putri Aryana Umaira Karim, 4, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10.

Kesemua mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat termasuk mayat Azizah Eiyi, 40, dan Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, yang ditemukan orang ramai, semalam. 

Dengan penemuan dan pengesahan identiti enam mayat itu, operasi SAR akan mengesan baki empat lagi mangsa iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24. 



Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma