Letupan bom berhampiran TK Park Pattani mencederakan pegawai polis termasuk pelancong Malaysia
Seorang pelancong Malaysia bersama sembilan anggota polis dan sukarelawan keselamatan Thailand cedera selepas kumpulan pemisah meletupkan bom buatan sendiri disembunyikan di dalam motosikal yang diletakkan berhampiran sebuah balai polis di Mueng, wilayah Pattani hari ini 13 Januari 2024
Polis berkata, letupan berlaku pukul 8.20 pagi(waktu tempatan) di taman Soi TK Park, sebelah balai polis Mueng Pattani.
Menurut pihak berkuasa, bom itu diletupkan menggunakan peranti masa.
Rakyat Malaysia yang cedera itu mengalami kesakitan pada bahagian dada, berkemungkinan berpunca daripada impak letupan. Namun, mangsa tiada luka luaran.
Kebanyakan 10 mangsa itu mengalami cedera ringan seperti sakit dada dan telinga berdesing. Bagaimanapun, tiga sukarelawan pertahanan terbabit mengalami luka akibat terkena serpihan
Pasukan pemusnah bom dihantar ke lokasi kejadian susulan letupan tersebut. Polis menutup kawasan itu dan menyekat liputan telefon bimbit kerana bimbang pemisah meletakkan bom kedua untuk menyerang hendap anggota-anggota pasukan keselamatan.
Polis sedang menyemak rakaman CCTV dan mengumpul bukti untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab. Langkah-langkah keselamatan di bandar sedang dipertingkatkan untuk meminimumkan risiko kejadian lanjut.
Comments
Post a Comment