Remaja itahan memandu tanpa lesen, akibatkan kemalangan maut di Jalan Stutong
KUCHING, 14 Jan (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana dipercayai memandu kereta tanpa lesen dan mengakibatkan kemalangan yang meragut lima nyawa di Jalan Stutong Baru tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu suspek telah hilang kawalan sebelum terbabas ke jalan bertentangan dan merempuh dua motosikal serta dua kereta.
"Akibat kemalangan tersebut, empat mangsa (tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan) berusia antara 16 hingga 45 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa berusia 16 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Mohd Farhan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Lucas Apin di talian 013-8246881 / 082-259900 atau melaporkan ke mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.
BERITA SEBELUMNYA:
Empat Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Stutong, Kuching
KUCHING, 14 Jan (Bernama) -- Empat maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta dan dua motosikal di Jalan Stutong menghala ke Jalan Lapangan Terbang Kuching, kira-kira 12.40 tengah hari 14 Januari 2025.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan mereka yang maut terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita dan identiti kesemua mangsa belum dikenal pasti.
“Pusat gerakan telah menerima panggilan daripada pihak hospital untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, bomba telah menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA) untuk mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di kenderaan Proton Saga.
“Keseluruhan mangsa yang terlibat dalam kejadian itu adalah sembilan orang, di mana tiga lelaki dan seorang wanita telah disahkan meninggal, dua mangsa masing-masing lelaki dan wanita cedera parah, serta tiga lagi mangsa lelaki mengalami cedera ringan,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPBM, mangsa disahkan meninggalkan dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang kritikal dan mengalami cedera ringan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dan menambah operasi tamat sepenuhnya pada 4.03 petang.
Comments
Post a Comment