Inkues Zara Qairina: Biar mahkamah putuskan sama ada bunuh diri atau sebaliknya, kata ahli patologi
Saksi pertama dalam siasatan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada remaja itu membunuh diri atau sebaliknya.
Dr. Jessie Hiu, 58, yang melakukan bedah siasat ke atas Zara Qairina di Hospital Queen Elizabeth pada 10 Ogos, berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang kanak-kanak yang dituduh membuli mendiang.
Ram: Jika bukan secara kemalangan atau ditolak semasa berdiri atau duduk di atas pagar, adakah mungkin mendiau terjatuh dengan sendiri?
Dr. Hiu menjawab, “Itu terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan.”
Ram: Pendek kata, apa jua definisi yang kita guna, adakah situasi yang melibatkan Allahyarham akan dianggap bunuh diri, memandangkan tiada kemalangan atau tolakan? Saya hanya bertanya kerana anda seorang pakar.
Dr. Hiu: Jawapan yang sama; terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan.
Apabila ditanya tentang bau badan yang telah reput, Dr. Hiu mengakui “ia berbau”, tetapi pasukan guaman yang mewakili ibu Zara Qairina membantah garis soal siasat tersebut dengan mengatakan ia tidak relevan. Hakim Koroner Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, juga mengekalkan bantahan tersebut.
Sebelum itu, sebuah manikin bersaiz kanak-kanak dibentangkan kepada mahkamah untuk membantu pakar perubatan itu menerangkan kecederaan yang ditemui pada mendiang.
Dr. Hiu, seorang ahli patologi yang berkhidmat dengan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth di sini sejak 1998, menandakan enam bahagian pada manikin tersebut yang sepadan dengan kecederaan yang ditemui pada tubuh Zara Qairina.
Enam bahagian tersebut ialah bahagian belakang kepala, tapak tangan, belakang lengan bawah, belakang siku, pergelangan kaki kanan dan kaki kiri.
Perbicaraan akan disambung pada hari Isnin.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Beliau telah dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya selepas ditemui pengsan dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Kamar Peguam Negara (AGC) mengumumkan bahawa satu siasatan mahkamah akan dijalankan ke atas kematiannya setelah mengkaji semula laporan siasatan polis.
Pada 8 Ogos, AGC mengarahkan penggalian semula mayat Zara Qairina untuk membenarkan bedah siasat dijalankan.

Comments
Post a Comment