22 termasuk 12 anggota polis terperangkap kepala air di Pertak berjaya diselamatkan
KUALA KUBU BHARU: 22 individu termasuk 12 anggota polis yang terperangkap akibat fenomena kepala air ketika beriadah di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, berjaya diselamatkan pihak bomba, sebentar tadi 4 September 2025.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.42 petang.
Katanya, operasi menyelamat membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu yang bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat.
“Daripada jumlah keseluruhan, 12 mangsa adalah anggota polis, manakala selebihnya orang awam,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Beliau memaklumkan, semua mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat pada jam 7.50 malam.
Ahmad Mukhlis menegaskan, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Comments
Post a Comment