Liwat, amang seksual pelajar: Mudir madrasah direman seminggu lagi
PASIR MAS - Seorang mudir sebuah madrasah pondok di Tumpat disambung reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes liwat dan amang seksual terhadap pelajar lelaki di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat 5 September 2025.
Perintah terhadap suspek berusia 46 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Syed Farid Syed Ali.
Tempoh sambung reman berkuat kuasa Sabtu hingga Jumaat ini.
Sebelum ini, lelaki berkenaan ditahan dalam sebuah kenderaan di tepi jalan di Tumpat pada jam 4.06 petang, 29 Ogos lalu.
Suspek ditahan selepas laporan dibuat oleh mangsa yang berusia 16 tahun sehari sebelum tangkapan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie ketika dihubungi mengesahkan lanjutan reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Suspek direman kali pertama selama tujuh hari bermula 30 Ogos lalu.
“Reman disambung tujuh hari lagi bermula esok bagi membolehkan siasatan diteruskan terhadap kes ini,” katanya.
Perintah sambung reman dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 5 dan 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Comments
Post a Comment