Wah, Formula Matematik Magis DAP: 100% Undi Cina = 112 Kerusi!
Sungguh mengagumkan. Pihak kita patut berdiri dan memberi tepukan gemuruh kepada formula matematik terbaharu daripada Nga Kor Ming.
Katanya, kalau masyarakat Cina bagi sokongan 100% padu kepada PH pada PRU16, boom! PH akan menang 112 kerusi Parlimen dan boleh bentuk kerajaan sendiri tanpa perlu “tengok muka orang lain”. Romantik betul bunyinya, kan? Sekali dengar macam skrip filem adiwira.
Tapi sebelum kita terbuai dengan mimpi indah ini, jom kita guna kalkulator kedai runcit sekejap untuk tengok "kehebatan" formula ini.
Sila Ambil Gelas, Kita Perah Sampai Titisan Terakhir
Persoalannya sekarang: pengundi Cina nak kena "tumpukan" sokongan macam mana lagi?
Pada PRU15 yang lalu, sokongan pengundi Cina kepada PH/DAP sudah pun dianggarkan mencecah 95%. Jadi, pelan genius Nga Kor Ming adalah memburu baki 5% lagi. Mari kita lihat impak magis baki 5% ini secara matematik:
- Kawasan 60% pengundi Cina: Tambahan 5% undi ini hanya akan menaikkan 3% undi keseluruhan.
- Kawasan 40% pengundi Cina: Tambahan 5% undi ini hanya menyumbang 2% sahaja kepada undi keseluruhan.
Ya, tambahan 2% hingga 3% ini mungkin boleh membantu di beberapa kerusi campuran yang menang tipis. Tetapi untuk menukar baki 5% undi ini menjadi puluhan kerusi baharu sehingga cukup 112? Ini bukan sains politik, ini dah tahap ilmu sihir.
Menang Banyak Undi, Dapat Hadiah Misteri?
Satu lagi realiti yang cuba dighaibkan ialah: kerusi majoriti Cina bukannya boleh membiak. Kebanyakannya memang sudah pun dimenangi oleh DAP atau PH.
Masa PRU15, DAP bertanding 33 kerusi di Semenanjung dan menang kesemua 33 kerusi tersebut. Jadi, kalau sokongan Cina naik daripada 95% ke 100% di kawasan tersebut, apa hasilnya?
Sifir Mudah SPR:
- Menang dengan majoriti 50,000 undi = Dapat 1 kerusi.
- Menang dengan majoriti 80,000 undi = Tetap dapat 1 kerusi.
Mungkin DAP fikir Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada buat promosi "Beli 1 Percuma 1"—kalau majoriti terlalu besar, boleh tebus satu lagi kerusi Parlimen secara percuma? Spoiler: Tak ada. Undi ekstra itu cuma sekadar mencantikkan rekod dalam kertas sahaja, bukannya menambah kerusi.
Lebih melucukan, zon selesa DAP ini sebenarnya makin mengecil akibat perubahan demografi dan perpindahan penduduk. Di Sabah dan Sarawak pula, pengundi nampaknya makin "sedar dari talian" dan mula beralih kepada parti tempatan. Nak pertahankan kerusi sedia ada pun belum tentu lepas, inikan pula berangan nak tambah kerusi baharu.
Gajah Di Depan Mata, Semut Di Seberang Laut Yang Dicari
Faktor sebenar yang menentukan sama ada PH boleh dapat 112 kerusi atau tidak bukannya baki 5% pengundi Cina yang belum beralih arah itu. Isu utamanya ialah pengundi Melayu, Bumiputera, India, dan pengundi atas pagar.
Tetapi, sebut pasal isu kekurangan sokongan Melayu yang semakin merosot, tiba-tiba semua orang jadi bisu. Lebih mudah pusing cerita dan perah lagi baki undi Cina yang dah sedia ada 95% itu.
Ini ibarat anda memerah limau kasturi, tetapi mengharapkan yang keluar itu jus durian Musang King. Tak munasabah, tapi janji sedap didengar dalam ucapan politik.
Rekod Prestasi Cemerlang (Untuk Tidak Stabil)
Sejarah juga tidak pernah menipu, kecuali kalau kita buat-buat lupa.
Setiap kali DAP berada di Putrajaya—sama ada era PH 1.0 (2018-2020) atau era Kerajaan Madani sekarang—rakyat disajikan dengan drama rantaian yang tidak pernah habis:
- Ketidakstabilan politik naik mendadak.
- Pertumbuhan ekonomi mula perlahan.
- Golongan PKS dan rakyat marhaen (termasuk masyarakat Cina sendiri) yang terpaksa menanggung pening kepala.
PH 1.0 mencatat rekod dunia dengan tumbang dalam masa tak sampai dua tahun. Kerajaan sekarang pula terpaksa bertahan dengan cara "peluk erat" musuh tradisi yang dulu hari-hari dimaki sebagai penyamun dan perompak, sambil masing-masing memegang pisau di belakang kain.
Jadi, tolonglah berhenti menjual naratif dongeng ini kepada masyarakat Cina.
Strategi menuntut sokongan 100% ini tidak akan mengubah apa-apa. Ia cuma taktik kitar semula untuk memastikan DAP menang besar di kawasan yang mereka memang sudah menang, kemudian selepas pilihan raya, mereka akan berpusing balik dan berkata kepada pengundi: "Minta maaf, masih tak cukup. Sila sokong lebih kuat lagi pada PRU akan datang."
Siling sokongan itu bukan setakat dah retak, tapi dah sampai had maksimum. Selepas ini, jalannya bukan lagi ke atas, tetapi meluncur laju ke bawah.

Comments
Post a Comment