[VIDEO] Zahid Hamidi Garis Formula 'AKAR', Tegaskan Sejarah Bukan Senjata Politik & Tolak Label Melayu 'Pendatang'
Sejarah negara tidak seharusnya dijadikan senjata untuk memecahbelahkan rakyat atau diputar belit mengikut selera politik sempit. Sebaliknya, kefahaman sejarah yang jujur dan menyeluruh amat dituntut sebagai pedoman membina masa hadapan bersama.
Demikian ditegaskan oleh Presiden UMNO merangkap Pengasas Musyawarah Nasional, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan majlis Musyawarah Nasional 3.0: Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Dalam ucapannya di hadapan ratusan peserta, Ahmad Zahid menegaskan bahawa ketamadunan tanah air ini tidak bermula dengan kedatangan penjajah Barat mahupun tertumpu semata-mata pada era Kesultanan Melayu Melaka. Penemuan arkeologi dan sejarah di tapak purba seperti Kedah Tua, Lembah Bujang, dan Sungai Batu membuktikan peradaban maritim, perdagangan, serta industri peleburan besi telah wujud berabad-abad lebih awal.
Tolak Naratif Sempadan Moden & Label 'Pendatang'
Mengulas polemik asal-usul bangsa, beliau memberi amaran keras terhadap kecenderungan menggunakan garis sempadan geopolitik moden untuk menilai migrasi masyarakat di rantau Kepulauan Melayu ratusan tahun lampau.
"Dalam konteks Melayu, perpindahan masyarakat antara wilayah di Alam Melayu perlu difahami berdasarkan hubungan serantau yang telah lama wujud. Kita tidak boleh menggunakan sempadan negara hari ini untuk menilai perpindahan zaman dahulu lalu menjadikannya alasan melabel bangsa Melayu sebagai pendatang di Tanah Melayu," tegas beliau disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa usaha mempertahankan jati diri dan hak keistimewaan Melayu tidak bermakna menafikan hakikat sejarah kelompok lain, khususnya kaum Orang Asli serta warga sah berbilang kaum yang telah bersama-sama membina Malaysia.
Perlembagaan Persekutuan Bukan Menu ‘À La Carte’
Menyentuh soal undang-undang tertinggi negara, Ahmad Zahid mengingatkan semua pihak agar tidak membaca Perlembagaan Persekutuan secara terpilih atau à la carte semata-mata untuk memenangkan hujah kelompok masing-masing.
Beliau menggariskan bahawa prinsip kesamarataan (Perkara 8), kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera (Perkara 153), takrif Melayu (Perkara 160), kedudukan Islam, Bahasa Melayu, serta Kedaulatan Raja-Raja Melayu merupakan satu ikatan pasak kenegaraan yang utuh.
Beliau turut menekankan kepentingan adab dalam perbezaan pendapat (adabul ikhtilaf), terutamanya menghormati institusi diraja dan kuasa prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong, sambil menegur pihak yang lantang membelasah tanpa adab di platform awam.
3 Langkah Tuntas & Gagasan Formula 'A.K.A.R'
Bagi menterjemahkan kefahaman kepada gerak kerja praktikal, Ahmad Zahid mengemukakan tiga langkah penting:
Memperkukuh Pendidikan Sejarah: Melatih generasi baharu menganalisis fakta bersandarkan disiplin ilmu bagi menapis lambakan maklumat tular di media sosial.
Membina Kefahaman Bersama Asas Negara: Memastikan seluruh sistem pendidikan mendedahkan pelajar kepada asas Perlembagaan dan pembentukan watan.
Menggubal Kerangka Perundangan Khusus: Mewujudkan undang-undang menangani hasutan kebencian kaum dan agama tanpa menyekat wacana akademik serta kritikan sihat.
Beliau turut merumuskan panduan kenegaraan menerusi akronim A.K.A.R:
A (Asal-usul): Ditelusuri dengan ilmu, bukan selera.
K (Kenegaraan): Berpaksikan Perlembagaan secara menyeluruh.
A (Adab): Tertib dan berintegriti dalam mengurus perbezaan pandangan.
R (Rakyat): Perkongsian masa depan dan kemakmuran yang adil merentasi kemajmukan.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru agar segala iktibar sejarah masa lalu dijadikan pedoman untuk merealisasikan wawasan Malaysia Biru Menuju 100 Tahun Kemerdekaan, termasuk memupuk konsep 'Negara Pemilik' agar setiap rakyat merasai pemilikan hakiki terhadap bumi bertuah ini.

Comments
Post a Comment