[VIDEO] Suami berselisih faham ahli sindiket dadah punca ejen kosmetik diculik, dilarikan ke Thailand


[VIDEO] Suami berselisih faham ahli sindiket dadah punca ejen kosmetik diculik, dilarikan ke Thailand

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/160727/

KOTA BHARU – Perselisihan faham antara suami kepada seorang ejen jualan kosmetik dengan ahli sindiket dadah dipercayai menjadi punca wanita itu diculik di rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, suami kepada mangsa yang diculik berusia 36 tahun itu disyaki berselisih faham dengan ahli sebuah sindiket pengedaran dadah sama yang disertai lelaki itu.

Menurutnya, keadaan tersebut dipercayai menjadi punca utama kepada penculikan mangsa yang kini dipercayai berada dalam keadaan selamat di Thailand.

“Polis telah menjalankan operasi dalam kes itu sebelum menahan tiga suspek termasuk suami mangsa dan seorang wanita semasa mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat semalam.

“Siasatan mendapati, suami mangsa yang berusia 36 tahun bekerja sebagai nelayan manakala dua lagi suspek terlibat dengan kegiatan penyeludupan.



“Dua suspek yang ditahan itu juga dipercayai terlibat dalam insiden melarikan mangsa di rumahnya kelmarin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, pemeriksaan turut mendapati suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah manakala seorang lagi suspek tujuh rekod kes sama.

Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa dipercayai mengetahui penglibatan suaminya dalam sindiket pengedaran dadah.

Ujarnya, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, polis menjumpai kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai digunakan suspek semasa melarikan mangsa di pangkalan haram Kuala Jambu, Pasir Mas.

“Kita sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam usaha untuk menyelamatkan dan membawa pulang mangsa. Setakat ini, mereka (pihak berkuasa Thailand) memberi kerjasama yang baik dalam kes ini.

“Selain itu, polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan rangkaian sindiket dadah lain yang terlibat dalam kes ini. Kita berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan polis akan memaklumkan perkembangan kes ini dari masa ke semasa,” katanya.

Semalam dilaporkan, Seorang wanita yang juga ejen produk kosmetik dipercayai diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini petang kelmarin.

Rosnazirah dilarikan tiga lelaki tidak dikenali pada 5.10 petang dengan menaiki Toyota Vios.

Suspek yang terlibat dalam kes itu juga dipercayai menggunakan senjata semasa membawa lari mangsa terus ke arah Wakaf Bharu di sini.

Selain itu, keluarga mangsa juga tidak menolak kemungkinan wanita itu dibawa ke Thailand. 

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma