Polis selesai kes tembak bunuh di Balingian, Sarawak

MUKAH: Polis Sarawak menyelesaikan kes tembak dan bunuh di Balingian, Mukah Isnin lalu dengan menahan lelaki di rumah panjang Sungai Arip, Balingian, Mukah hari ini.

Suspek berusia 54 tahun itu ditahan 2.30 petang tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek turut membawa polis ke satu kawasan semak berhampiran rumah panjang iaitu lokasi dia menyembunyikan senapang patah yang digunakan untuk menembak mangsa.

Menurutnya, pada 12.30 tengah hari tadi, sembilan lelaki termasuk empat yang dikehendaki berusia 18 hingga 45 tahun menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri.

"Suspek yang ditahan ini akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, setakat ini 22 individu ditangkap berhubung kes ini iaitu 10 penduduk rumah panjang dan 12 lelaki dari Miri.

Pada 5.35 petang Isnin lalu, polis Sibu dimaklumkan orang awam mengenai kejadian tembak itu dan pasukan IPD Tatau yang sampai di tempat kejadian kira-kira 8 malam, menemui mayat lelaki memegang parang, tertiarap di atas jalan di simpang masuk ke Ladang Sungai Arip.

Mangsa yang mempunyai kesan luka pada kepala dan badan dipercayai akibat tembakan dan tetakan dengan benda tajam dikenali sebagai Fabian Janti Lebau, 26, berasal dari Miri.

Kejayaan Polis Sarawak ini turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan mengucapkan tahniah melalui akaun Twitternya, hari ini.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL