[VIDEO] Guna cek palsu, bekas pembantu tadbir Felda dipenjara, denda


[VIDEO] Guna cek palsu, bekas pembantu tadbir Felda dipenjara, denda

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162685

KUANTAN -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas pembantu tadbir di Felda Jengka 12 Melor di Maran, dipenjarakan selama 115 bulan selepas beliau mengaku bersalah atas 10 pertuduhan menggunakan cek palsu bernilai RM64,734, dua tahun lepas. 

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan tertuduh Mohd Azlan Jainal, 36, yang beralamat di Bahau, Negeri Sembilan, menjelaskan denda RM68,500 atau jika gagal, dipenjara selama 29 bulan. 

Pada prosiding itu, Ahmad Zamzani menjatuhkan hukuman penjara antara lapan, 10, 12 dan 13 bulan bagi setiap pertuduhan, namun semua hukuman tersebut diarahkan berjalan serentak mulai hari ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 26 Mac 2021 hingga 30 April tahun sama di sebuah bank di Bandar Tun Abdul Razak, Maran, melibatkan nilai antara RM6,436 dan RM7,000. 

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Fakta kes menyatakan tertuduh menggunakan buku cek milik Felda Jengka 12 Melor yang diamanahkan kepadanya, dengan mengeluarkan cek atas nama diri sendiri selepas meniru tandatangan pengurus dan penyelia felda tersebut, kononnya bagi tujuan pembayaran khairat kematian kepada waris peneroka. 

Wang itu dikreditkan ke akaun tertuduh yang bekerja di felda itu sejak 2012 sebelum terbongkar setelah  beliau ditukarkan ke Perak pada Mei 2021, apabila pengganti tertuduh menyedari kehilangan cek pada buku cek itu. 

Semasa merayu hukuman diringankan, tertuduh dengan panjang lebar mendakwa ia adalah untuk 'kebajikan dan keselesaan pejabat' selain bagi menyertai Anugerah Keceriaan Kampung Felda di peringkat kebangsaan. 

Antara lain, bapa kepada empat orang anak itu mendakwa ia digunakan untuk membeli meja, mesin mengira wang dan meja komputer, selain membaiki pendingin hawa serta lampu yang terbakar dan menambah baik jeriji besi di pejabat. 

"Saya tidak gunakan wang itu untuk kegunaan peribadi seperti membayar hutang pelajaran dan koperasi atau menyelesaikan tunggakan bil telefon atau langganan siaran televisyen yang kini sudah disenaraihitamkan. 

"Saya rayu hukuman ringan supaya kawan saya yang menjadi penjamin dalam hutang saya tidak terbeban kerana mereka adalah B40 selain pinjaman perumahan saya baru diluluskan," katanya. 

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon hukuman setimpal atas alasan matlamat tidak menghalalkan cara tertuduh yang mengambil kesempatan mendapatkan wang dengan jalan pintas. 

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma