[VIDEO] Muhyiddin didakwa enam tuduhan guna kedudukan untuk suapan, terima wang haram


[VIDEO] Muhyiddin didakwa enam tuduhan guna kedudukan untuk suapan, terima wang haram

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162644

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.

Muhyiddin, 75, yang memakai sut biru gelap, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Muhyiddin. 

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd dan RM1 juta daripada Nepturis Sdn Bhd, bagi parti Bersatu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, beliau didakwa sebagai perdana menteri dan presiden parti itu telah menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19.5  juta daripada Mamfor Sdn Bhd dan RM12 juta daripada Azman Yusoff bagi parti berkenaan.


Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Muhyiddin juga didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Muhyiddin diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran, Datuk Rosli Dahlan dan Datuk Takiyuddin Hassan.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL