Teks penuh wawancara Perdana Menteri dengan Metro TV, Indonesia

JAKARTA  - Berikut adalah teks penuh wawancara eksklusif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan MetroTV di sini, semalam.

S: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, terima kasih faktor anda dalam MetroTV. Dalam kunjungan ini, selain kerjasama ekonomi juga dibahas hal-hal penting lainya seperti soal tenaga kerja dan soal perbatasan antara dua negara. Saya ingin fokus kepada tenaga kerja dahulu. Seperti apa anda melihat penyelesaian masalah tenaga kerja antara Indonesia dengan Malaysia pada masa depan?

PM: Kita amat menghargai tenaga kerja dari Indonesia yang dapat membantu ekonomi Malaysia dalam pelbagai sektor sebagai sumber tenaga yang penting. Namun, kita berkehendakan supaya kemasukan tenaga kerja ini secara teratur dan mengikut undang-undang negara.

S: Ini bererti tidak ada lagi tenaga kerja 'illegal' (haram) begitu?

PM: Ini maksud saya, sebab dia mendatangkan satu masalah sosial, di samping itu kita tidak dapat memberi perlindungan melindungi kepentingan mereka.

S: Setelah kunjungan ini apa yang akan berbeza terhadap tenaga kerja Indonesia di Malaysia?

PM: Ramai kita bersetuju supaya masalah ini ditangani oleh jawatankuasa bersama.

Menteri Tenaga Kerja kedua-dua negara akan mengadakan perbincangan untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini dan kedua bagaimana kita boleh lebih melakukan nilai tambah. Salah satu daripada cadangan Presiden Jokowi ialah untuk 'upgrade' (meningkatkan) kemahiran mereka di sini dan kita juga mengenal pasti keperluan kemahiran yang diperlukan oleh industri oleh syarikat-syarikat peladangan, pembinaan dan sebagainya supaya kita dapat lakukan 'matching' (pemadanan).

S: Selain tenaga kerja ada hal yang penting apa kaitan dengan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia?

PM: Hubungan kita ini berada tahap hubungan yang boleh saya katakan sangat serasi. Saya sentiasa menganggap hubungan ini sebagai amat penting diusahakan secara bersungguh-sungguh, sebab kita tidak boleh bersandarkan semangat rumpun, soal sejarah kebersamaaan budaya, agama dan sebagainya tetapi kita mesti sedar bahawa kita perlu mengenal pasti bidang-bidang yang boleh membawa hubungan ini ke tahap yang lebih tinggi, tahap baharu.

S: Apa saja itu (contohnya) Pak Najib?

PM: Umpamanya dalam ekonomi, macam mana kita boleh 'intergrate' (mengintegrasikan) ekonomi Malaysia dan ekonomi Indonesia. Saya lihat langkah yang dibuat oleh Bapak Presiden di sini untuk membangunkan kemudahan asas 'infrastructure spending' (perbelanjaan infrastruktur) termasuk 'public housing' (perumahan awam), lebuh raya dan sebagainya. Ini semua boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat dari Malaysia dan saya hendak pertimbangan berdasarkan kepada merit.

S: Apabila membandingkan hubungan Malaysia-Indonesia sebelum anda menjawat sebagai 'Prime Minister' (Perdana Menteri). Sebelum 2009 dengan setelah saat anda menjawat sebagai 'Prime Minister', apa perbezaannya?

PM: Ini merupakan satu proses, ia tidak bererti bahawa hubungan ini tak baik sebelum saya ataupun kurang baik sebelum saya jadi Perdana Menteri. Tapi kita berusaha dengan bersungguh-sungguh, misalnya kalau dulu sering ada demostrasi terhadap Malaysia tetapi akhir-akhirnya ini nampak tak ada, kadang-kadang soal agak kecil tetapi diperbesarkan, soal tarian dan sebagainya ini tidak seharusnya menjadi permasalahan antara kedua-dua negara yang mewarisi budaya yang sama.

Kalau kita boleh mengurangkan atau menolak sama sekali unsur-unsur untuk menjadikan sesuatu isu yang kecil itu menjadi isu besar, maka hubungan kita ini boleh dilihat daripada persepktif yang lebih besar, lebih luas dan betapa pentingnya dua negara serumpun ini bekerjasama seerat mungkin.

S: Sebagai investor (pelabur) terbesar kedua di Indonesia, bagaimana anda melihat Indonesia hari ini Pak Najib?

PM: Saya melihat, prospeknya begitu mengalakkan antaranya langkah yang dibuat oleh pemerintah hari ini untuk memudahkan kerenah birokrasi dari segi FDI (Pelaburan Langsung Asing) itu kami melihat bahawa Indonesia hari ini lebih 'investor friendly' (mesra pelabur), kedua dengan peluang-peluang perniagaan yang hasil daripada keputusan pemerintah dan Bapak Presiden, saya sebut tadi untuk membangunkan infrastruktur umpamanya dan kita syarikat-syarikat dari Malaysia boleh mengambil bahagian berdasarkan kepada kebolehan merit. Saya melihat prospeknya amat baik sekali.

S: Kalau tadi mengatakan Indonesia semakin 'investor-friendly', bagaimana Malaysia boleh memaksimumkan potensi itu sehingga mengeratkan hubungan ekonomi, kerjasama ekonomi antara dua negara?

PM: Ya, misalnya, keputusan ini mengadakan WIEF, Forum Ekonomi Islam Dunia di Jakarta ini, salah satu daripada platform bagaimana kita boleh tingkat usahasama antara 'business to business aspect' (aspek bisnes ke bisnes) ataupun perspektif dan juga isyarat yang diberikan, maknanya pelabur dan orang berniaga melihat pada 'political signal' (isyarat politik). Jadi, kalau dia lihat pucuk pimpinan pemerintah Malaysia-Indonesia ini hubungannya begitu akrab, begitu positif, maka itu memberi 'signal' yang jelas.

S: Pak Najib, bagaimana anda menjelaskan hubungan anda secara peribadi dengan Pak Jokowi?

PM: Saya amat senang hati dengan Pak Jokowi, saya lihat keterbukaannya, saya lihat keikhlasannya dan saya pun lihat bahawa dalam banyak isu kami ada pendirian dan ada perspektif yang sama, ini bererti kami kurang berbeza pendapat. Walaupun ada cabaran misalnya, kita terpaksa mencari penyelesaian yang bersifat tuntas dalam soal kesempadanan, perairan maritim dan sebagainya, soal nelayan yang ditangkap dan sebagainya, ini isu yang pratikal, isu yang tidak seharusnya membawa kepada isu-isu yang menghambat kepada hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

S: Apakah dengan adanya Presiden Jokowi sebagai presiden Republik Indonesia membuat anda rasa lebih nyaman sebagai 'counterpart' (rakan sejawat) untuk bekerjasama dengan Indonesia.

PM: Ya begitu, saya lihat, saya dah kenal Pak Jokowi sebelum dia jadi presiden Indonesia. Dia memang merupakan seorang 'the people's man' (Pemimpin yang mengutamakan rakyat). Saya melihat bahawa dia amat sedar betapa pentingnya Malaysia dan Indonesia bekerjasama dengan seerat mungkin.

S: Pak Najib, saya akan berpindah ke topik yang lain. Di negara anda, di peringkat antarabangsa anda dihujani dengan tuduhan soal 1MDB bahkan 'US Justice Department' Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mengeluarkan 'law suit' (saman sivil) terhadap anda dan apa yang sebenarnya terjadi?

PM: Ini merupakan satu isu bisnes, tetapi malangnya isu bisnes ini dijadikan sebagai satu isu politik oleh musuh-musuh. Maknanya, kalau ada apa-apa kelemahan kalau ada apa-apa yang dilakukan tidak selari dengan undang-undang dan sebagainya, biarkan ini sebagai masalah bisnes dan diteliti dari segi proses undang-undang dan kerajaan Malaysia merupakan negara yang pertama sekali mengambil keputusan untuk disiasat dan kita tubuh PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) yang terdiri daripada ahli-ahli parti kerajaan dan pembangkang sebagainya dan badan-badan lain seperti MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Polis, Bank Negara, semua sudah siasat apa yang berlaku dalam 1MDB.

Tetapi malangnya dijadikan sebagai isu politik oleh musuh-musuh tertentu. Saya nak beritahu bahawa apa yang dilakukan oleh DOJ baru-baru ini tidak melibatkan saya ataupun kerajaan Malaysia ataupun secara langsung 1MDB.

Ia cuma nama-nama lima orang yang ternama dalam 'sivil suit' (saman sivil) tersebut dan itu yang perlu dijelaskan dan ini merupakan saman sivil dan bukan saman 'criminal' (jenayah).

S: Anda mengatakan kes ini isu bisnes tetapi dipolitikkan. Apa motif dari aspek politik pada pandangan anda?

PM: Motifnya jelas, sebab kalau sebagai pembangkang dan yang mereka tak senang dengan kepemimpinan saya, mereka kena cari isu. Isu lain nampaknya mereka tak dapat 'attraction' (perhatian) tak dapat sambutan nak menjatuhkan saya dengan kerajaan, tapi dalam isu ini mungkin sedikit sebanyak ada perhatian daripada setengah pihak.

Tetapi bila berlaku pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, kita (Barisan Nasional) telah menang dengan 'over whelming majority' (majoriti yang sangat besar) dan bila kita ada dua 'by-election' (pilihan raya kecil) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam bulan Ramadan baru-baru ini, majoriti kita melonjak tinggi, jadi kalau kita jadikan ini sebagai ukuran dalam sistem demokrasi yang terbuka, rakyat telah membuat pilihan. Malah, bekas perdana menteri Malaysia Tun Mahathir, dia buat kenyataan mahu jadikan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai referendum terhadap kepimpinan saya...referendum itu jelas jika dijadikan referendum, maknanya rakyat memberi sokongan yang semakin meningkat kepada kepimpinan saya, walaupun digunakan pelbagai isu.

S: Jadi ertinya tidak ada yang salah dengan 1MDB?

PM: Mungkin ada kelemahan-kelemahan tertentu dan kita telah betulkan, kita ambil 'internal action' (tindakan dalaman'), misalnya kita ada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) yang baharu dan Kementerian Kewangan telah ambil alih dan seperti yang saya kata, jika ada apa-apa lagi yang perlu, kita akan ambil tindakan.

S: Baik, bagaimana anda menjelaskan ada yang menyatakan menyebut nama Dr Mahathir. Sebenarnya hubungan anda dengan Dr Mahathir seperti apa? Beliau adalah bekas mentor anda.

PM: Ya, memang Dr Mahathir menyokong kuat saya dulu dan menjadi mentor saya selama ini, tetapi Dr Mahathir ada sifat mahu 'control' (kawal), mahu jadi penentu kepada apa saja keputusan atau dasar negara walaupun dia tidak lagi menjadi perdana menteri. Maknanya, Dr Mahathir is 'obsess about control' (obses untuk mengawal) dan saya pun dah mengenali beliau lama dan saya tahu saya cuma ada dua pilihan sebagai perdana menteri. Pertama, saya merupakan perdana menteri yang merujuk kepada beliau. Mendapat 'nasihat' beliau. Saya kata nasihat tetapi mungkin arahan untuk melakukan kehendak beliau dari segi pentadbiran negara.

Maknanya, saya tidak akan menjadi perdana menteri yang terpaksa mendengar cakap dia, atau pun saya menjadi perdana menteri yang percaya kepada kepimpinan saya, pertimbangan saya berdasarkan kepada mandat rakyat telah berikan kepada saya, parti telah berikan kepada saya, maka saya harus lakukan apa yang terbaik untuk negara dan saya bertanggungjawab kepada rakyat.

S: Mana yang anda pilih?

PM: Saya pilih yang kedua, sebab itulah bila saya pilih yang kedua maknanya saya perlu menjadi seorang perdana menteri yang bertanggungjawab kepada rakyat membuat apa yang saya fikirkan yang terbaik untuk negara tetapi saya tahu kesannya tentu sekali Dr Mahathir tidak akan senang hati dengan saya, sebab sejarah telah membuktikan bahawa dia telah cuba dan dia telah menolak serta membuang ramai pemimpin dalam kerajaan sejak dulu lagi.

S: Dari hubungan yang hangat menjadi hubungan yang masam?

PM: Sebab saya tidak dengar cakap dia, mudahnya saya tidak dengar cakap dia sebab saya ada pertimbangan yang saya fikir adalah tepat untuk negara Malaysia.

S: Pak Najib, bagaimana kehebohan kes 1MDB dengan ibaratnya hubungan yang masam anda dan Dr Mahathir dan pembangkang yang begitu mempengaruhi 'partnership' (kerjasama) atau corak pemerintahan anda?

PM: Ya, pada akhirnya, walaupun ia jadi isu yang agak hangat tetapi kita sebuah negara demokrasi, akhirnya kita akan serah kepada rakyat. Rakyat akan menentukan apakah kehendak mereka dan saya yakin atas kebijaksanaan rakyat Malaysia untuk membuat pilihan bila sampai masanya.

S: Selain...kita cuba singkirkan dulu skandal, tuduhan dan sebagainya. Kita harus akui anda adalah pemimpin yang dipuji kerana menggunakan 'personal touch' (Sentuhan peribadi) untuk rakyat Malaysia. Bagaimana anda menjelaskan hubungan anda dengan warganegara Malaysia saat ini?.

PM: Saya kira baik sebab saya turun ke peringkat akar umbi. Rajin juga saya berjumpa dengan rakyat dan saya melihat sambutan agak hangat bila saya turun dan Alhamdulillah sehari dua ini dari segi hubungan dengan rakyat, saya rasa senang hati. (Walaupun ada pelbagai tuduhan) itu biasa dalam politik, itu adat resam politik tetapi hakikatnya kita mesti mendapat sokongan dan keyakinan rakyat jelata.

S: Ada kebijakan (cara pentadbiran) yang tidak popular tetapi banyak pihak yang mengatakan perlu. Seperti memotong subsidi bahan bakar dan menggantikannya dengan pembangunan projek MRT dan juga LRT. Boleh dijelaskan kepada kami apakah signifikan langkah itu?

PM: Kita ada cabaran yang hampir sama. Dua malam lalu, saya berbual dengan Pak Jokowi dan di Indonesia pun telah memansuhkan subsidi minyak, di Malaysia pun kita telah memansuhkan subsidi minyak, walaupun, ini soal ujian kepimpinan, sama ada kita berani membuat keputusan tepat, tetapi tidak popular dalam jangka pendek ataupun kita buat keputusan tepat, lambat laun rakyat akan sedar bahawa keputusan itu adalah keputusan yang tepat sekali.

S: Kita akan beralih kepada soal terorisme (keganasan), ini satu hal yang anda sampaikan kelmarin dalam ucapan anda di WIEF. Anda mengatakan bahawa ketika ini Malaysia begitu fokus untuk mengalahkan ISIS terutama aspek keganasan di Malaysia. Formula apa yang paling tepat untuk menangkis keganasan dan mengalahkan ISIS.

PM: Kita perlu melakukan melalui berbagai cara. Pertamanya, kita mesti mengenal pasti (pengganas) sebagai satu ancaman yang benar, satu ancaman yang serius, satu ancaman yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Jadi, kalau kita terima itu sebagai satu realiti, maka kita perlu mengambil langkah-langkah tertentu. Pertamanya, saya telah bersama-sama dengan jemaah menteri, kita meluluskan set perundangan baharu untuk memberi kuasa yang lebih kepada pasukan keselamatan untuk bertindak.

Kita percaya kepada kuasa 'pre-emptive' (pengcegahan awal) umpamanya, jika ada bukti yang jelas bahawa sesuatu tindakan dalam bentuk keganasan akan berlaku oleh mana-mana individu, maka individu itu boleh ditahan.

Tetapi kuasa itu bukan kuasa eksekutif (ia adalah) kuasa mahkamah. Jadi kita kemukakan bukti kepada mahkamah dan mahkamah putuskan sama ada orang ini merupakan ancaman kepada masyarakat ataupun tidak. Ya betul, dari segi prinsip undang-undang belum berlaku kejadian itu tetapi apakah kita perlu menunggu sesuatu itu, kejadian yang buruk berlaku sebelum kita boleh bertindak.

S:Apa yang boleh Indonesia belajar daripada usaha Malaysia membanteras radikalisme dan keganasan?

PM: Kuasa 'pre-emptive', tetapi kuasa itu jangan diberi kepada kuasa pentadbiran, tetapi beri kepada mahkamah. Kemukakan bukti di mahkamah bahawa mereka ini akan melakukan sesuatu tindakan keganasan yang berbentuk 'eminent' (popular). Jadi, kalau kita menunggu sesuatu berlaku, kesannya cukup buruk.

Kesannya kepada individu, kepada masyarakat dan kepada ekonomi negara. Lihat Tunisia umpamanya, industri pelancongannya lumpuh sekarang.

S: Bagaimana anda melihat saat ini Indonesia sedang membahaskan mengenai undang-undang penganasan untuk memasukkan tentera dalam usaha membanteras keganasan?. Apakah ini, anda fikir akan berkesan apabila pihak tentera dan polis bekerjsama membanteras keganasan?

PM: Saya sokong sebab polis sahaja tidak mencukupi, kita perlu kekuatan angkatan tentera, namun ia mesti ada kerjasama.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma