[VIDEO] Kerusi Batang Kali diisytihar kosong - Speaker DUN Selangor


[VIDEO] Kerusi Batang Kali diisytihar kosong - Speaker DUN Selangor

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162490

Kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali hari ini diisytiharkan kosong berkuatkuasa 28 Jan, ekoran penyandangnya Harumaini Omar (Pejuang) tidak hadir ke sidang DUN Selangor melebihi tempoh enam bulan.

Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata pengisytiharan itu, dilakukan mengikut peruntukan di bawah Perkara LXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Batang Kali, Yang Berhormat (YB) Harumaini Omar didapati tidak hadir tanpa kebenaran tuan speaker pada keseluruhan Persidangan Dewan dari 23 hingga 30 Nov 2022, 1 hingga 2 Dis 2022 dan 5 hingga 6 Dis 2022,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya tiada rekod dalam Pejabat DUN Selangor dan Pejabat Speaker yang menunjukkan bahawa, Harumaini telah memohon kebenaran daripada speaker untuk tidak hadir pada Persidangan Dewan untuk tempoh berkenaan.

“Berdasarkan rekod penyata rasmi dan buku kehadiran, tarikh akhir kehadiran YB Harumaini ke persidangan dewan adalah pada 27 Julai 2022. Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari tarikh 28 Julai 2022, maka seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran YB Batang Kali telah melebihi enam bulan,” katanya.


“Maka, pada menjalankan kuasa saya sebagai Speaker DUN Selangor di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dengan ini mengisytiharkan bahawa kerusi YB Harumaini adalah kosong berkuatkuasa dari 28 Jan 2023. Diisytiharkan di Shah Alam pada 16 Feb 2023,” katanya.

Ng berkata notis kekosongan kerusi berkenaan akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat dan Harumaini akan mengetahui berkenaan kekosongan itu melalui sidang media berkenaan pengisytiharan itu pada hari ini.

Ditanya adakah Harumaini pernah berhubung dengan pihak Speaker DUN berkenaan ketidakhadiran beliau, Ng berkata beliau tidak menerima sebarang surat atau dihubungi oleh Harumaini. 

“Kalau tidak hadir beliau kena tulis surat kepada Setiausaha DUN Selangor untuk tidak hadir kerana ada masalah atau sebagainya, perlu dimaklumkan (kepada DUN),” katanya.

Beliau menjelaskan pengisytiharan tersebut dibuat pada hari ini, selepas melalui proses yang tertib dan teratur termasuk mendapat ulasan dan nasihat  daripada kamar penasihat undang-undang negeri.

Dalam pada itu katanya segala gaji dan elaun Harumaini akan diberi sehingga Januari dan bermula Februari ini, segala pembayaran gaji dan kebajikan beliau sebagai ADUN akan dihentikan, namun pencennya tidak terjejas.

Beliau berkata Harumaini tidak dibenarkan untuk membuat rayuan di atas pengisytiharan itu serta dilarang hadir ke sidang DUN Selangor yang bermula pada Mac 13 depan.

Katanya pengisytiharan kekosongan itu ialah kali kedua yang dilakukan DUN Selangor.

“Kita juga ada rekod kes duluan iaitu pada 19 Jan 2011 Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim ketika itu mengisytiharkan kekosongan kerusi Pelabuhan Klang, yang disandang Badrul Hisham Abdullah menggunakan peruntukan yang sama, ini kes yang kedua berlaku,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL