[VIDEO] PATI bina penempatan haram lengkap sekolah di Nilai


[VIDEO] PATI bina penempatan haram lengkap sekolah di Nilai

Sebuah penempatan haram yang terletak sejauh 1.2 kilometer dari jalan utama dan mempunyai kemudahan sekolah dikesan dibina pendatang asing tanpa izin (PATI) di Nilai Spring, Nilai, dekat sini.

Ia dikesan hasil serbuan dalam satu operasi bersepadu diketuai Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS), awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Kennith Tan Ai Kiang, berkata perkampungan warga asing itu di bina di kawasan permukaan yang tidak rata dan berpaya selain dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar.

"Penempatan haram ini berada di kawasan permukaan bumi yang tidak rata dan berpaya serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar yang mendatangkan risiko kecederaan tinggi kepada semua pegawai yang melaksanakan operasi itu.

"Pasukan operasi juga terpaksa berjalan kaki melalui kawasan hutan sejauh 1.2 kilometer sebelum sampai ke lokasi.


"Hasil risikan dijalankan selama sebulan, penempatan ini menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut sukatan pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit set generator sebagai punca kuasa elektrik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi yang bermula 1.30 pagi itu turut dibantu pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), seramai 67 orang PATI ditahan.

Tan berkata, mereka yang ditahan berusia antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.

"Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan terbabit bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

"Ketika serbuan dilakukan, terdapat cubaan daripada beberapa orang PATI meloloskan diri daripada ditahan pegawai Imigresen malah ada yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap," katanya.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang di kediaman mereka turut ditemui di dalam kediaman mereka.

"Kesemua tahanan terbabit ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Tan berkata, operasi itu dilaksanakan berdasar aduan dan maklumat orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat.

"Kami (Jabatan Imigresen Negeri Sembilan) juga sedang mengenal pasti sama ada penempatan ini didirikan di atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram," katanya.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL