[VIDEO] Laungan 'Allahuakbar' iringi kejayaan MAS-01 SMART selamatkan mangsa gempa


[VIDEO] Laungan 'Allahuakbar' iringi kejayaan MAS-01 SMART selamatkan mangsa gempa

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162329

GAZIANTEP (TURKIYE): Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menzahirkan perasaan bersyukur serta lega kerana berjaya menyelamatkan lima sekeluarga, semalam, selepas mangsa terperangkap dalam runtuhan bangunan kediaman mereka sejak enam hari lalu akibat gempa bumi dahsyat di Turkiye.

Pegawai operasi mencari dan menyelamat (SAR) MAS-01 SMART, Inspektor Muhamad Zul Khairi Idris, berkata takbir 'Allahuakbar' dilaungkan pada saat mangsa pertama membabitkan seorang remaja lelaki, dibawa keluar pada jam 1.20 tengah hari (6.20 petang waktu Malaysia), dengan perasaan sebak menyelubungi diri beliau dan anggota pasukannya.

Namun, Muhamad Zul Khairi bersama anggota kumpulannya menahan diri daripada terbawa-bawa perasaan itu, kerana tahu mereka memikul tanggungjawab dan harapan besar daripada rakyat tempatan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam bencana berkenaan.

Seorang demi seorang mangsa berjaya dikeluarkan selepas itu. Si kakak, ibu, kakak sulung dan bapa berjaya dibawa keluar pada jam 2.20 petang (7.20 malam waktu Malaysia) dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan tempatan.

Muhamad Zul Khairi berkata, terdahulu pasukan beliau seramai 24 anggota bersama seekor anjing pengesan (Frankie) bergerak ke lokasi runtuhan terbabit yang merupakan kawasan baharu hasil maklumat daripada pasukan peninjau yang terletak 1.3 kilometer dari kem pasukan penyelamat negara di Stadium Nurdagi, pada jam 11 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).

"Pada jam 1 tengah hari (6 petang waktu Malaysia), pasukan tempatan memberitahu terdapat bunyi di bawah runtuhan. Kami kemudian menggunakan peralatan 'Life Detector Six Sensor System and Victim Simulator (Delsar)' berjaya mengesan mangsa yang terperangkap sedalam dua meter di bawah runtuhan.


"Pada mulanya, kami menjangka terdapat tiga mangsa yang terperangkap tetapi melalui komunikasi menggunakan peralatan Delsar, mangsa memberitahu terdapat lima mangsa terperangkap bersama-sama dalam ruangan di bawah runtuhan," katanya kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini.

Cuaca sejuk dan berhabuk di Nurdagi yang mencecah satu darjah Celsius ketika itu seakan tidak terasa ketika beliau serta anggota pasukannya menggali dan mengalihkan halangan bagi membuka ruang selamat untuk mengeluarkan mangsa.

Muhamad Zul Khairi berkata, pasukannya menggunakan alat pemotong bagi memotong besi-besi konkrit yang berselirat, serta alat penampung beban sementara untuk membuka ruang seperti terowong bagi membolehkan pasukan penyelamat membawa keluar mangsa.

Lima mangsa berkenaan merupakan kumpulan mangsa yang pertama ditemukan selamat oleh pasukan SAR negara sejak ditempatkan di sini.

Secara keseluruhan ketika berita ini dibuat, pasukan penyelamat negara telah membawa keluar 25 mayat dan lima mangsa hidup.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lalu, telah meragut ribuan nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan. 


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL