Keringnya Sungai Furat - Pengkaji barat meramalkan akan mengering sepenuhnya menjelang 2040


Keringnya Sungai Furat - Pengkaji barat meramalkan akan mengering sepenuhnya menjelang 2040

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/160598/

Setiap yang bermula pasti ada penamatnya, setiap yang hidup pasti merasai mati serta setiap kehidupan itu pastinya akan menempuh pengakhiran dan itu adalah sunatullah yang sudah ditetapkan dan kita semua akan melaluinya.

Begitu juga dengan dunia ini, ia semakin hampir dengan pengakhirannya dan salah satu tanda dekatnya kiamat adalah keringnya Sungai Furat.  Berdasarkan kepada maklumat daripada Britannica menjelaskan bahawa Sungai Furat yang juga disebut sebagai Sungai Eufrat mempunyai kepanjangan 2,800 kilometer (km) dan ia adalah salah satu daripada dua bahagian sistem sungai Tigris-Eufrat.  

Memperihalkan sungai itu dalam geografi, Sungai Furat ini menaik sehingga ke Turki dan mengalir ke tenggara merentasi Syria dan melalui Iraq.  Sungai itu terbentuk menerusi pertemuan Sungai Karasu dan Murat di Tanah Tinggi Armenia, Eufrat menuruni antara banjaran utama Pergunungan Taurus ke dataran tinggi Syria.  

Ia kemudian mengalir melalui barat Iraq dan tengah untuk bersatu dengan Sungai Tigris. Lembahnya mempunyai pengairan yang banyak pada zaman dahulu dan banyak bandar besar, sebahagian daripada runtuhannya masih kekal, memenuhi tebingnya.  

Dengan Tigris, ia mentakrifkan kawasan yang dikenali secara sejarah sebagai Mesopotamia.  

Sungai ini banyak memberi gambaran tentang Hari Kiamat dan ia berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW bermaksud: 

"Tidak terjadi Hari Kiamat itu sehingga Sungai Furat menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata 'mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu." (Hadis Riwayat Muslim, No 5152)  

Hadis ini jelas memberi gambaran bahawa perebutan bukit emas itu akan berlaku dan pertumpahan darah yang dahsyat akan terjadi kerana mahu merebut kekayaan berkenaan.  

Rasulullah SAW dalam hadis di atas menjelaskan bahawa daripada 100 orang yang bertempur, 99 orang akan mati dan hanya seorang saja yang hidup.  

Begitulah dahsyatnya perebutan harta berkenaan dan sebagai umat Islam, Nabi SAW sudah mengingatkan kepada kita semua supaya tidak mengambil harta berkenaan walaupun sedikit.  

Sungai Furat adalah sungai terpanjang di Asia Barat. Mengairi tiga buah negara iaitu Turki, Syria dan Iraq. 

Ia berpunca dari hiliran timur Turki, kemudian merentasi Syria, memasuki Iraq dan bertemu ulu sungai Tigris sebelum berakhir di muara Shatt Arab, pesisir Teluk Parsi.  

Sungai Furat bersama Sungai Tigris menjadi sumber air dan juga laluan penting. Sehingga hari ini Furat masih membekalkan air bersih kepada jutaan pengguna sekitar Asia Barat.  

Bukti sains juga menunjukkan bahawa sungai itu semakin mengering hasil daripada imej cerapan satelit daripada tahun ke tahun dan ini membenarkan sabda Nabi SAW berhubung pengeringan sungai berkenaan dan akan muncullah bukit emas yang menjadi rebutan.  

Laporan media juga banyak menunjukkan bahawa pada hari ini sungai berkenaan sudah mengering sedikit demi sedikit dan kini dikatakan sudah berada pada tahap kritikal.  

Terdapat juga ramalan daripada pengkaji barat bahawa sungai berkenaan akan mengering sepenuhnya menjelang 2040 namun ia hanya sekadar ramalan tetapi apa yang perlu diinsafi adalah pengeringan sungai berkenaan adalah bukti hampirnya kita pada hari ini dengan pengakhiran yang sudah dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW sejak lebih 1,400 tahun yang lalu.  

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bermaksud: 

"Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barang siapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu." (Hadis Riwayat Bukhari, No 6586 /  Muslim, No 5153)  

Melihat kepada semua bukti berkenaan, maka benarlah seperti peringatan serta panduan yang sudah diberikan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW berhubung insiden serta tragedi akhir zaman yang bakal berlaku.  

Namun, satu persoalan besar yang perlu dijawab pada hari ini adalah apakah kita sudah bersedia untuk menghadapi zaman kekalutan dan penderitaan berkenaan.  

Islam menganjurkan kepada kita supaya sentiasa bersedia dengan meningkatkan amal ibadah dan kembali kepada Islam sebenar berlandaskan kepada al-Quran, hadis dan ikutan ulama muktabar.  

Sesungguhnya, pengakhiran untuk dunia ini pasti akan berlaku kerana perkara berkenaan sudah pun dinyatakan menerusi banyak firman Allah SWT yang mengingatkan tentang hari kiamat dan manusia akan diadili di padang mahsyar.  

Rasulullah SAW bersabda: 

"Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." (Hadis Riwayat Bukhari, No 4269)  

Oleh itu, tanda-tanda kecil Hari Kiamat sudah terlalu banyak di hadapan kita dan segeralah kita bertaubat memohon keampunan atas dosa dan kesilapan yang dilakukan.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma