Imigresen serbu 'private party' dan penempatan kontena warga asing


Imigresen serbu 'private party' dan penempatan kontena warga asing

BACA selanjutnya di: https://pakdin.my/160440

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menjalankan satu siri operasi penguatkuasaan ke atas dua premis berbeza di Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2022. Siri operasi ini dijalankan berdasarkan keprihatinan Jabatan atas maklumat dan aduan awam yang gusar akan kegiatan mencurigakan melibatkan warga asing. 

Lokasi pertama operasi di sebuah private party di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan lokasi kedua di sebuah penempatan warga asing di Brickfields, Kuala Lumpur. Dalam kedua - dua serbuan ini, pihak JIM telah memeriksa seramai 365 individu dan hasilnya seramai 84 orang warga asing yang berumur diantara 20 tahun hingga 50 tahun telah ditahan.

Dalam operasi pertama, pihak JIM telah menyerbu sebuah private party yang dijalankan oleh penganjur warganegara Malaysia dan tetamu terdiri daripada kalangan warga asing majoriti daripada benua Afrika. Semasa pemeriksaan dilakukan, telah berlaku beberapa aksi provokasi dan cubaan melarikan diri melalui pintu belakang premis. Walau bagaimanapun, situasi berjaya ditenteramkan dan pemeriksaan dapat dilakukan dengan baik. Seramai 171 orang telah diperiksa dan 25 orang telah ditahan terdiri daripada petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu. Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen yang sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas. 

Setiap tetamu dikenakan yuran masuk sebanyak RM150 secara atas talian dan lokasi party hanya akan dimaklumkan pada hari terakhir kepada tetamu bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa. Party ini menghidangkan minuman keras dan persembahan yang menjolok mata. Rata-rata artis yang membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing dan ramai dalam kalangan mereka memegang pas pelajar asing.

Seterusnya, pasukan operasi yang sama telah bergerak ke lokasi kedua, sebuah penempatan warga asing berbentuk kontena tiga tingkat yang terletak di Brickfields, Kuala Lumpur. Pegawai serbuan telah mengepung kawasan penempatan ini sebelum memulakan pemeriksaan. Semasa pemeriksaan, terdapat aksi kejar-mengejar dan cubaan melarikan diri. Kebanyakannya warga asing yang diperiksa terdiri daripada warganegara Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal. Seramai 294 orang warga asing telah diperiksa dan seramai 59 orang terdiri daripada pelbagai warganegara telah ditahan. 

Antara kesalahan ialah, tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah untuk tinggal serta peserta Program Rekalibrasi PATI yang ditolak.

Kes disiasat dibawah  Akta Imigresen 1959/63 dan  Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Selain tahanan warga asing ini, beberapa orang warganegara tempatan termasuk penganjur majlis dan majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

JIM mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat tentang keberadaan dan aktiviti warga asing yang mengganggu ketenteraman awam dan melanggar undang-undang Malaysia. Pihak JIM mengharapkan keprihatinan ini berterusan supaya Jabatan ini dapat meneruskan penguatkuasaan undang-undang dan membanteras keberadaan PATI di Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL