[VIDEO] Jurulatih penerbangan maut, seorang lagi cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh
[VIDEO] Jurulatih penerbangan maut, seorang lagi cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh
Selanjutnya di: https://pakdin.my/160336
IPOH: Seorang jurulatih penerbangan maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini pada Isnin 8:10 malam (1/8/2022).
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Chester Voo, berkata kemalangan itu melibatkan pesawat sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, hari ini.
“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh telah menerima panggilan kecemasan pada jam 8:07 malam. Jenis pesawat yang terlibat adalah Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA berkenaan dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, yang mengesahkan perkara itu berkata, mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital untuk rawatan.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Azman Hussin berkata, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.10 malam.
Berita awal:
Pesawat ringan terhempas, 2 tersepit di Jalan Dr Nazrin Shah Ipoh
IPOH: Dua individu dilaporkan tersepit apabila sebuah pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, di sini, malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Azman Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 8.10 malam sebelum anggota bergegas ke lokasi.
"Setiba di tempat kejadian, pasukan mendapati sebuah kapal terbang bersaiz kecil terhempas.
"Terdapat dua mangsa, dan kerja mengeluarkan mereka sedang dijalankan," katanya.
Tinjauan di lokasi mendapati anggota masih melakukan operasi menyelamat.
Comments
Post a Comment