[VIDEO] Bilangan penonton lebihi kapasiti stadium; 129 maut akibat rempuhan di Indonesia
[VIDEO] Bilangan penonton lebihi kapasiti stadium; 129 maut akibat rempuhan di Indonesia
BACA seterusnya di: https://pakdin.my/160862
JAKARTA: Menteri Koordinator Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia Mahfud MD berkata bilangan penonton melebihi kapasiti yang dibenarkan memasuki stadium di mana rempuhan yang berlaku mengakibatkan 129 orang terkorban.
Dalam catatan Instagramnya, Encik Mahfud berkata sebanyak 42,000 tiket dijual bagi stadium yang boleh menampung hanya 38,000 penonton.
Suasana panik tercetus selepas pihak polis melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan pergaduhan yang berlaku menyusuli perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, menyebabkan ramai orang berasak-asak cuba melarikan diri.
Kebanyakan mangsa terpijak sampai mati, menurut polis hari ini (2 Okt).
Para penyokong dari kedua-dua kelab bola sepak dilaporkan bergaduh di dalam stadium selepas Persebaya Surabaya mengalahkan Arema Malang 3-2 dalam perlawanan BRI Liga 1.
https://www.instagram.com/tv/CjM_DYXg4gd/?utm_source=ig_web_copy_link
Pergaduhan yang berlaku sejurus selepas tamat perlawanan lewat Sabtu malam (1 Okt) menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata, yang kemudian mengakibatkan para penonton berasa panik, kata Ketua Polis Jawa Timur Nico Afinta.
Beratus-ratus penonton melarikan diri ke salah satu pintu gerbang untuk mengelakkan semburan gas pemedih mata.
Sebilangan penonton mengalami sesak nafas manakala 34 yang lain maut akibat dipijak dalam rempuhan tersebut.
Lebih 300 orang dikejarkan ke hospital-hospital berdekatan untuk merawat kecederaan mereka namun ramai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan semasa dirawat, kata Encik Afinta.
Menurutnya lagi, angka korban akibat rempuhan itu dijangka akan terus meningkat, dengan keadaan 180 penonton yang cedera dilaporkan semakin bertambah tenat.
Menyusuli rusuhan itu, kesemua baki perlawanan BRI Liga 1 yang dijadual berlangsung minggu ini digantung.
Persatuan Bola Sepak Indonesia turut mengesahkan bahawa Arema FC tidak akan menjadi tuan rumah bagi sebarang perlawanan sepanjang musim ini.
Comments
Post a Comment