Zaliha Nafi Keluarkan Kenyataan Sahkan Adendum Tahanan Rumah Najib


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menafikan mengeluarkan kenyataan media berhubung titah adendum berhubung penahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak yang tersebar pagi tadi.

Tegas Zaliha, kenyataan media yang disebarkan di media sosial berhubung perkara tersebut adalah palsu dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang menyebarkan kenyataan palsu itu.

“Untuk makluman, kenyataan media ini adalah PALSU dan tidak pernah dikeluarkan oleh saya.

“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu ini,” kata Zaliha menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Menerusi kenyataan palsu itu, Zaliha sebagai menteri dipertanggungjawabkan dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dilaporkan mengesahkan adendum dikeluarkan bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 29 Januari adalah sahih dan benar.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dengan ini mengesahkan adendum tersebut adalah sahih dan benar.

“Saya memohon agar semua pihak bertenang sementara menunggu keputusan Mahkaman Rayuan pada 6 Januari 2025 berkaitan perihal tersebut,” menurut kenyataan palsu itu.

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Disember depan untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum.

Semalam, Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu di Mahkamah Rayuan bagi membuktikan wujudnya perintah tambahan yang membenarkannya menjalani baki tempoh penjaranya di bawah tahanan rumah. PAKDIN




Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma