Aset Rizab rasmi Malaysia berjumlah US$118.35 bilion pada akhir November 2024 - BNM
Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$118.35 bilion (US$1=RM4.45), manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$255.72 juta pada akhir November 2024, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata untuk 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, yang termasuk antara lain, pembayaran balik berjadual bagi peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM berjumlah US$14.03 bilion.
"Kedudukan jualan hadapan pendek bersih berjumlah US$27.75 bilion pada akhir November 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," katanya dalam satu kenyataan mengenai pemakluman terperinci rizab antarabangsa pada akhir November 2024, hari ini 31 Disember 2024.
Selaras dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, BNM berkata data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing yang timbul daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
Ia berkata unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.54 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan bagi hutang mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun berjumlah US$399.8 juta.
Comments
Post a Comment