AGC Tolak Representasi Ibu Bapa Zayn Rayyan Semak Semula Pertuduhan Abai Anak


Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan pasangan Zaim Ikhwan Zahai dan Ismanira Abdul Manaf untuk menyemak dan menarik balik tuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh di sini hari ini bahawa AGC menolak representasi itu yang diserahkan kepadanya pada 19 November lalu.

Raja Zaizul kemudian memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain untuk menyelesaikan permohonan dokumen tambahan oleh pihak pembelaan.

Hakim, kemudian menetapkan 10 Januari tahun depan bagi sebutan untuk membolehkan pihak-pihak memuktamad penyerahan dokumen perbicaraan.

Terdahulu, ibu bapa Zayn Rayyan yang berdepan satu pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu, tiba di Mahkamah Sesyen pada jam 8.49 pagi.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris selepas peguam terdahulu, Fahmi Abd. Moin menarik diri daripada mewakili mereka.

Pada prosiding 18 September lalu, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar selama 15 hari dalam tempoh tiga minggu berturut-turut iaitu pada 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari 2025.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. PAKDIN

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma