'Menteri pun katak politik, susah nak lulus RUU antilompat' - Shahrir


'Menteri pun katak politik, susah nak lulus RUU antilompat' - Shahrir

Sumber: https://pakdin.my/158090 ...

Tidak mudah untuk kerajaan membentang dan meluluskan rang undang-undang lompat parti memandangkan jemaah menterinya turut terdiri daripada "katak politik," sindir veteran Umno, Shahrir Samad.

Dia berkata 39 ahli parlimen yang berada di Dewan Rakyat ketika ini terdiri daripada mereka yang telah lompat parti.

"Tidak mudah bagi sebuah kerajaan yang jemaah menterinya terdiri juga dari mereka yang pernah lompat parti untuk bersetuju dengan tafsiran 'lompat parti' atau 'katak politik'.

"39 ahli parlimen dalam parlimen ke-14 pernah lompat keluar dari parti asal mereka pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Kerana mereka lompat, sama ada mereka tidak didakwa ataupun mereka dapat jawatan yang lebih baik dari semasa mereka berada dalam parti asal mereka," katanya pada satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan kerajaan tidak akan meneruskan rancangan untuk membentang dan meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan untuk menghalang ahli parlimen daripada lompat parti.

Beberapa sumber yang tahu berkenaan perkara ini memberitahu Malaysiakini bahawa kabinet sebaliknya memutuskan untuk membentangkan RUU bagi meminda beberapa bahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang akan membolehkan perundangan “antilompat” di masa akan datang.

Menurut sumber, sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini bagaimanapun dijangka akan diteruskan seperti dirancang.

Kerajaan telah memberi taklimat beberapa kali kepada ahli parlimen berkenaan kandungan RUU tersebut dan mendapatkan maklum balas mereka.

Namun, perincian RUU tersebut belum dimaklumkan sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Sharir memberi contoh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Jeli Mustapha Mohamed merupakan pemimpin politik yang tidak didakwa meskipun menerima dana daripada bekas perdana menteri Najib Razak kerana lompat parti.

"Hamzah Zainudin dan Dr Latif Ahmad dapat jadi menteri kanan atau menteri kerana mereka lompat masuk PPBM (Bersatu). Hamzah pegang jawatan menteri yang kanan.

"Dr Latif sudah terlalu lama berjawatan sebagai timbalan menteri dan sebelum PRU ke-14 pun, telah menjadi ahli parlimen biasa. Selepas lompat parti, baru jadi menteri penuh.

"Rezeki kan. Tak beramanah ke, itu soal lain. Ianya rezeki yang tidak boleh ditolak? Tapi buat masa ini, susah nak setuju pasal lompat parti.

"Prinsip pun berlain. Ada yang anggap ianya satu pengkhianatan. Ada yang pertahankannya sebagai satu 'ibadah'. Mereka duduk semeja pula tu," kata Shahrir lagi.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL