58 kubur dipindah


58 kubur dipindah

Sumber: https://pakdin.my/158051 .....

LIPIS: Kubur orang alim dan pahlawan terkenal Pahang suatu ketika dahulu antara 58 kubur lama berusia ratusan tahun terletak di Tanjung Betong, Kampung Kuala Telang di sini yang terpaksa dipindahkan oleh pihak berwajib.

Tindakan memindahkan kubur lama terbabit terpaksa dilakukan apabila kawasan berkenaan yang terletak di tepi Sungai Jelai diancam hakisan serius sejak beberapa tahun lalu.

Tanah perkuburan berkenaan dikatakan wujud ratusan tahun lalu sama dengan pembukaan Kampung Kuala Telang yang juga penempatan terawal di Hulu Pahang.

Pegawai Agama Islam Daerah Lipis Mohd Zainudin Zakaria berkata, keputusan memindahkan 58 kubur lama itu terpaksa dibuat kerana kejadian hakisan tebing Sungai Jelai berikutan kesan banjir yang berlaku hampir setiap tahun.

Menurutnya, keadaan runtuhan tebing sungai berkenaan yang semakin serius mengharuskan pemindahan kubur dilakukan kerana terdapat keperluan dan kewajaran yang perlu diambil kira.

Katanya, selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib termasuk waris sebahagian kubur keputusan memindahkan kubur lama itu terpaksa dibuat segera.

"Kubur perlu digali sedalam kira-kira 1.83 meter bagi tujuan mengesan jenazah dan sekiranya tidak dijumpai, tanah berwarna hitam yang disifatkan sebagai cebisan mayat diambil dan dimasukkan ke dalam karung diperbuat daripada kain putih sebelum dikebumikan.

"Daripada 58 kubur yang digali hanya terdapat lapan yang masih ada sisa tulang yang jelas dan kita kebumikan dalam liang lahad baharu. Manakala, selebihnya kita kumpul dan kebumikan dalam satu liang lahad," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Proses Pengalihan Kubur Lama Tanjung Betong ke Tanah Perkuburan Kampung Berala sejauh kira-kira 0.5 kilometer di sini kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Mufti Pahang Datuk Abdul Zaki Md Zin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Nizam Abdul Manan, Pegawai Agama Daerah Jerantut Syarifuddin Mohd Saad dan Pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Dr Norzaimah Mohd Idris.

Menurut Mohd Zainudin, proses pengalihan kubur berkenaan berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk waris serta penduduk kampung.

Beliau berkata, proses pengalihan kubur lama itu diadakan selama dua hari dan mendapat kebenaran pejabat Mufti Negeri Pahang dan dimulakan dengan majlis tahlil.

Sementara itu, Dr Norzaimah berkata, usaha mencari batu nisan atau sebarang tanda perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum aktiviti menggali dan memindahkan jenazah dapat dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.

"Kami akan mengadakan perbincangan dengan Jaip sebelum membuat sebarang keputusan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kesulitan serta isu berbangkit di kemudian hari.

"Proses pengalihan kubur ini antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat pihaknya," katanya yang sebelum ini terbabit memindahkan kubur di Pahang.

Ketua Kampung Kuala Telang, Satmi Osman, 58 berkata, terdapat sebanyak 73 kubur lama di tanah perkuburan Tanjung Betong yang menjadi tempat semadi penduduk setempat termasuk beberapa orang alim dan pahlawan terkenal Pahang suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat 15 kubur yang masih tidak dipindahkan dan kerja mengalihkannya mungkin akan diadakan tidak lama lagi selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, kali terakhir tanah perkuburan Tanjung Betong digunakan penduduk setempat 30 tahun lalu, selepas itu Tanah Perkuburan Kampung Berala digunakan hingga kini.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL