Dicabul & Disamun Pemandu E-Hailing, Gadis Nekad Lompat Dari Kereta
Dicabul & Disamun Pemandu E-Hailing, Gadis Nekad Lompat Dari Kereta
Sumber: https://pakdin.my/158041 ....
Seorang remaja terpaksa melompat keluar dari kenderaan e-hailing yang sedang bergerak selepas pemandunya didakwa mencabul dan menyamunnya dalam satu kejadian berhampiran Jalan Kionsom, Inanam, pagi Khamis (31 Mac).
Mangsa yang juga jurujual berusia 19 tahun menempah perkhidmatan e-hailing untuk pergi ke tempat kerja di Menggatal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Rakman berkata, pemandu itu memberitahu mangsa bahawa dia terpaksa menggunakan jalan pintas kerana laluan utama sesak.
"Ketika menghampiri kawasan air terjun Kionsom, pemandu didakwa meminta gadis itu beralih dari tempat duduk penumpang belakang ke tempat duduk hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Pemandu itu dikatakan meraba paha mangsa, membuatkannya memberi amaran kepada lelaki tersebut supaya tidak melakukannya lagi.
Pemandu itu kemudian didakwa mengeluarkan pisau kecil dari begnya dan meminta mangsa menyerahkan wang.
Bimbang diapa-apakan, mangsa nekad melompat keluar dari kereta yang sedang bergerak dan melarikan diri dengan berjalan kaki.
Tambah George, mangsa yang mengalami kecederaan di badan sempat menghubungi rakannya untuk mendapatkan bantuan.
Mangsa kemudian membuat laporan polis mengenai perkara itu pada pukul 1.14 tengah hari.
George berkata siasatan awal mendapati kereta itu mempunyai nombor plat yang didaftarkan kepada kenderaan lain.
"Siasatan kini giat dijalankan untuk mengesan suspek yang memandu Perodua Axia," katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Riduan Abd Majidat di talian 010-514 4059, atau balai polis berhampiran.
Comments
Post a Comment