[Video] Detik cemas disamun lelaki mabuk


[Video] Detik cemas disamun lelaki mabuk

SUMBER: https://pakdin.my/158207 ...

KLANG: Seorang remaja perempuan berdepan detik cemas apabila diacu dengan gergaji kecil ketika sedang bekerja di sebuah kedai serbaneka di Taman Sentosa, Klang.

Difahamkan, suspek adalah lelaki tempatan dan dalam keadaan mabuk ketika memasuki kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian sekitar jam 12.08 tengah hari itu, mangsa yang berusia 19 tahun sedang bekerja sendirian di kedai serbaneka itu sebelum didatangi suspek.

"Suspek meminta wang daripada mangsa dengan alasan dirinya dirompak bagaimanapun remaja terbabit memaklumkan kedai berkenaan tidak ada wang.

"Lelaki berkenaan kemudian bertindak mengeluarkan senjata iaitu gergaji kecil dan mengacukan kepada mangsa. Susulan takut dicederakan, mangsa membuka laci tempat simpanan duit dan menyerahkan kepada suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, kedai berkenaan mengalami kerugian sekitar RM235.15.

Katanya, suspek difahamkan mempunyai susuk tubuh tinggi dan sedikit berisi, memakai pelitup muka di paras mulut, memakai baju kemeja bercorak kotak, berseluar hitam serta berkasut putih.

"Mangsa gagal mengecam wajah suspek kerana takut untuk melihatnya dan hasil pemeriksaan juga mendapati tiada kesan geledah serta cap jari suspek ditemui di lokasi.

"Mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, satu rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka tular memaparkan suspek mengacu senjata terhadap pekerja yang berada di kaunter pembayaran kedai berkenaan.

Berikutan itu, mangsa dilihat membuka laci simpanan wang dan menyerahkan sejumlah wang kepada suspek yang kemudian dilihat beredar dari tempat kejadian.




Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL